Monday 15 June 2015

Bau harum jenazah reput

Padang Besar: Pasukan petugas yang menguruskan proses penggalian tapak kubur milik pelarian etnik Rohingya di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sini, menerima kejutan apabila mendakwa salah satu daripada tapak terbabit mengeluarkan bau yang harum.
Sumber yang enggan didedahkan identiti berkata, kerja penggalian tapak kubur terbabit dihentikan seketika selepas petugas terhidu bauan terbabit kerana jarang berlaku sebelum ini membabitkan mayat reput.
Menurutnya, mereka menemui satu jenazah yang siap dibungkus dengan kain berwarna putih selepas mengeluarkan beberapa lapisan kayu yang ditimbuni tanah sebelum mendapati bauan harum terbabit datang dari kubur berkenaan.
“Selepas dibuka kain putih dipercayai kafan, ternampak sekujur jenazah hampir reput dan mempunyai beberapa helaian janggut di bahagian tengkorak kepala.
“Walaupun usia jenazah terbabit tidak dapat dikenal pasti secara sahih, namun dianggarkan berkemungkinan seorang warga emas. Mangsa juga dipercayai seorang beriman dan warak selain beragama Islam berdasarkan kaedah pengkebumian terbabit,” katanya.
Sumber berkenaan berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim di sebuah kem penempatan pelarian Rohingya itu dikenali sebagai Kubur 20 di Wang Kelian, di sini, kelmarin.
Katanya, bau harum jenazah itu difahamkan masih kekal walaupun sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk dibedah siasat.
Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, keadaan di kem terbabit yang menempatkan mangsa pemerdagangan manusia didapati lengkap dengan sebuah pondok seperti surau, sekali gus menunjukkan kebajikan pelarian terbabit turut dijaga termasuk keperluan perubatan serta kerohanian.
Menurutnya, beliau percaya sindiket terbabit mahu memastikan setiap pelarian yang dijadikan seperti ‘barang dagangan’ berada dalam keadaan terbaik daripada segi kesihatan dan kerohanian sebelum dijual kepada pihak tertentu bagi mendapatkan keuntungan.
“Kewujudan beberapa tapak dipercayai kubur di kawasan ini juga bukanlah petanda bahawa pelarian di kem terbabit diseksa sebelum meninggal dunia.
“Sudah tentu sindiket mahukan pelarian ini berada dalam keadaan baik supaya dapat dijual pada harga yang tinggi. Mungkin ada yang meninggal dunia akibat faktor kesihatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 9:16 PM


Beberapa tapak penggalian yang dilakukan pasukan penyiasat dikenali sebagai Kubur 20 dipercayai tapak kubur pelarian Rohingnya yang mati dan dikebumikan. FOTO Hafizudin Mohd Safar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57995#sthash.6espdE6v.dpuf

No comments:

Post a Comment