Kubur tersebut yang terletak kira-kira 100 meter dari negara jiran ditemui hasil operasi yang dijalankan oleh polis sejak 11 Mei lalu di kawasan yang dipercayai menjadi laluan pemerdagangan manusia.
Operasi itu dijalankan berikutan penemuan sebanyak 31 kubur etnik Rohingya dan warga Bangladesh di kawasan laluan sindiket pemerdagangan manusia di daerah Sadao, wilayah Songkhla, selatan Thailand pada 1 Mei lalu.
Fokus Rencam minggu ini melihat beberapa kes penemuan kubur besar tidak bertanda di seluruh dunia yang melibatkan mangsa pembunuhan beramai-ramai dan pemerdagangan manusia.
Wang Kelian, Perlis
BEBERAPA minggu selepas penemuan tragik kubur besar di Songkhla, selatan Thailand, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar polis negara ini menemukan sebanyak 139 kubur dan 28 kem pelarian di Wang Kelian, Perlis pada 25 Mei lalu.
Berita tersebut menggemparkan seluruh negara yang terkejut dengan penemuan 139 kubur yang dipercayai mengandungi mayat pelarian Myanmar di dalam kawasan Malaysia.
Namun, beberapa pihak sudah menjangka kubur mangsa pemerdagangan akan turut ditemukan di dalam kawasan sempadan negara ini selepas penemuan kubur di selatan Thailand kerana negara jiran itu hanya digunakan sebagai transit untuk pelarian Myanmar dan Bangladesh masuk ke Malaysia.
Menurut Khalid, polis menjalankan operasi dari 11 Mei hingga 24 Mei lalu di dalam keseluruhan kawasan sempadan di Perlis ekoran penemuan kubur besar di selatan Thailand. Lokasi penempatan yang ditemukan itu merupakan transit kepada pendatang asing yang ingin memasuki negara ini.
Paling menyedihkan, mayat seorang mangsa pemerdagangan manusia ditemukan dibiarkan sahaja mereput di atas tanah tanpa dikebumikan.
Jelas Khalid, pelarian yang dibawa dari negara mereka akan dikurung di situ sementara menunggu bayaran daripada keluarga di negara asal. Selepas bayaran dijelaskan, pendatang asing itu akan dibawa masuk ke sempadan Thailand semula sebelum dibawa memasuki Malaysia sama ada menerusi laluan sah atau laluan "tikus".
Pendatang asing berkenaan dipercayai dibiarkan berlapar semasa dikurung di kawasan tersebut. Kesemua mayat yang ditemukan itu dipercayai mati akibat kebuluran.
Songkhla, Thailand
SETAKAT ini, sebanyak 36 mayat ditemukan di daerah Sadao, wilayah Songkhla, selepas pembongkaran sebanyak 31 kubur yang dipercayai mengandungi mayat warga Islam etnik Rohingya di sebuah kem penyeludupan di dalam hutan di sempadan Malaysia - Thailand pada 1 Mei lalu.
Di kem pertama itu, polis Thailand turut menemukan satu mayat di atas tanah di situ dan menyelamatkan seorang pendatang yang dipercayai berasal dari Bangladesh. Kesemua 32 mayat itu dipercayai mati akibat dibiarkan kebuluran oleh sindiket pemerdagangan manusia.
Beberapa hari selepas itu, polis negara itu menemukan sebuah kem lain di atas bukit, kira-kira tiga kilometer dari kem pertama. Kem tersebut mampu memuatkan 1,000 orang. Ia mengandungi 21 bilik tidur, lapan tandas, dua menara pemerhati, empat dapur memasak dan sebuah balai besar.
Di situ terdapat tiga mayat iaitu dua lelaki dan seorang wanita. Tidak jauh dari kem tersebut, terdapat tiga kem kecil yang dibina dalam wilayah Perlis yang bersempadan dengan Thailand.
Penemuan menggemparkan itu susulan penangkapan sebanyak 76 pendatang asing tanpa izin dari Myanmar dalam kereta api yang menuju ke Malaysia di wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand pada 30 Mac lalu.
Ekoran penemuan mengerikan itu, beberapa pegawai tempatan termasuk Datuk Bandar Padang Besar, Songkhla dan warga Myanmar ditangkap bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia. Sebanyak 50 pegawai polis turut dikenakan tindakan disiplin dan ditukar serta merta kerana didakwa terlibat membantu sindiket pemerdagangan manusia itu.
Kawasan selatan Thailand memang dikenali sebagai laluan sindiket pemerdagangan manusia untuk memasuki Malaysia.
Tikrit, Iraq
PADA 28 Mei lalu, kerajaan Iraq mengumumkan menemukan 470 mayat dari empat kubur besar di Tikrit, Iraq. Kesemua mangsa dipercayai dibunuh oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) pada tahun lalu. Empat kubur itu merupakan antara 11 kubur yang ditemukan di situ pada April lalu. Dianggarkan lebih 1,700 mangsa kekejaman IS ditanam di dalam kawasan itu.
Menurut pihak berkuasa negara, kesemua mangsa yang dikebumikan di dalam empat kubur itu, kebanyakannya dipercayai tentera Iraq dan pejuang jihad Syiah yang diculik oleh kumpulan militan IS pada Jun 2014.
Sebahagian mangsa tersebut berbaris sebelum ditembak di kepala seorang demi seorang di beberapa lokasi, seperti yang ditunjukkan dalam gambar dan video yang dikeluarkan selepas kejadian tersebut.
Sebahagian mangsa lagi dibunuh dan dihumban ke dalam sungai Tigris manakala sebahagian lagi dibakar hidup-hidup di beberapa lokasi yang ditemukan selepas tentera kerajaan menawan kembali Tikrit daripada kumpulan IS.
Semasa pemerintahan Saddam Hussein, terdapat sebanyak 40 kubur besar yang mengandungi mangsa pembunuhan, kebanyakannya puak Kurdish di Iraq. Dipercayai 100,000 daripada sejuta rakyat negara itu yang hilang semasa Saddam berkuasa ditanam di dalam salah satu kubur tersebut.
Prijedor, Bosnia
PADA September 2013, pasukan penyiasat menemukan satu kubur besar yang mengandungi kira-kira 400 mayat di Tomasica, Prijedor di Bosnia dan Herzegovina. Kubur tersebut merupakan antara pusara terbesar yang ditemukan di Bosnia dan Herzegovina selepas konflik itu tamat.
Kesemua mayat tersebut dipercayai penduduk Prijedor daripada etnik Bosnia dan Croatia yang dibunuh oleh tentera Serbia semasa Perang Bosnia 1992-1995. Mereka dibunuh apabila tentera Serbia pergi dari rumah ke rumah di Prijedor dan membunuh semua penduduk bukan berketurunan Serbia. Kesemua mayat mangsa kemudian disembunyikan dengan ditanam dalam kubur besar.
Selepas perpecahan Yugoslavia, Serbia cuba menubuhkan negara sendiri merangkumi Bosnia dan Crotia tetapi hanya diduduki oleh etnik Serbia. Bagi mencapati matlamat tersebut, mereka melakukan pembersihan etnik dengan membunuh penduduk bukan Serbia di wilayah berkenaan.
Kemboja
LEBIH 1.38 juta orang penduduk Kemboja mangsa kekejaman rejim Khmer Rouge antara 1975 hingga 1979 dipercayai ditanam di kira-kira 20,000 kubur besar yang ditemukan di seluruh negara Kemboja. Kebanyakan mangsa kekejaman rejim tersebut terdiri daripada etnik Vietnam, Thai, Cina, Cham, Kristian Kemboja dan sami Buddha.
Dianggarkan antara 1.7 juta hingga 3.4 juta penduduk Kemboja terbunuh sepanjang tempoh tersebut ketika rejim Khmer Rouge yang diketuai Pol Pot melakukan pembersihan etnik bagi mewujudkan komunis baharu di Kemboja.
Hanya selepas kekalahan rejim Khmer Rouge kepada tentera Vietnam pada 1979, banyak kubur besar mengandungi rangka mangsa ditemukan di seluruh negara. Namun, masih banyak kawasan yang dipercayai menjadi tempat pengebumian mangsa kekejaman rejim tersebut masih tidak digali.
Antara tempat yang dikenal pasti menjadi padang pembunuhan ialah Kralanh. Di situ sahaja, dianggarkan terdapat kira-kira 35,000 mayat ditanam.
Satu lagi tempat yang ditemukan kubur besar mengandungi beribu-ribu mayat selepas kejatuhan rejim Khmer Rouge ialah Choeung Ek yang terletak kira-kira 17 kilometer di selatan Phnom Penh.
Kawasan itu kini dikenali sebagai Tugu Peringatan Choeung Ek yang dipenuhi lebih 5,000 tengkorak manusia, kebanyakannya telah hancur.
Chechnya
SEHINGGA 2008, sebanyak 57 tapak pengebumian beramai-ramai ditemukan di Chechnya. Dianggarkan terdapat beribu-ribu mayat mangsa Perang Chechnya Pertama 1994-1996 dan Perang Chechnya Kedua 1999-2009 ditanam di situ.
Kubur paling besar ditemukan di Grozny yang mengandungi lebih 800 mayat mangsa Perang Chechnya 1994. Namun, Rusia tidak menggali kubur ini bagi mengenal pasti mayat-mayat tersebut.
Dalam Perang Chechnya Pertama, dianggarkan antara 3,000 dan 15,000 pejuang Chechen terbunuh manakala bilangan penduduk awam yang terkorban pula antara 30,000 dan 100,000. Angka korban dalam Perang Chechnya Kedua pula dianggarkan antara 25,000 dan 50,000 kebanyakannya penduduk awam di Chechnya.