Monday 15 June 2015

Bantah beri bantuan

Yangon: Penganut Buddha tegar yang disokong golongan sami semalam mengadakan bantahan di Rakhine terhadap bantuan yang ditawarkan kepada pendatang terkandas dalam bot di Teluk Bengal.
Ketegangan antara penganut Buddha dan etnik Islam Rohingya di Rakhine - salah satu negeri termiskin di Myanmar - memaksa kebanyakan mereka tinggal di kem pelarian sejak tercetusnya kekacauan pada 2012.
Puluhan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan disertai pendatang dari Bangladesh yang mahu berhijrah ke Malaysia dan Indonesia.
Penghijrahan itu mula mendapat perhatian sejak kerajaan Thailand mengambil tindakan keras ke atas penyeludupan manusia bulan lalu, menyebabkan pelarian ditinggalkan di laut dan darat.
Seramai 4,500 etnik Rohingya dan pendatang Bangladesh sudah terdampar di rantau ini, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 2,000 yang lain masih terperangkap di laut.
Selepas berhadapan tekanan antarabangsa, tentera laut Myanmar menyelamatkan lebih 900 pendatang dan dibawa ke Rakhine manakala 150 dihantar pulang ke Bangladesh.
Sementara itu, beberapa yang lain masih ditahan di kem sempadan sehingga Bangladesh dan Myanmar menentukan kewarganegaraan asal mereka.
Bantuan itu sekaligus menimbulkan kemarahan penganut Buddha konservatif yang mahu etnik Rohingya diusir dari Myanmar dan menggesa kerajaan supaya tidak membantu mereka yang terkandas di Teluk Bengal.
Menurut saksi yang menyertai bantahan itu semalam, kira-kira 500 orang yang disokong puluhan sami berkumpul tanpa menghiraukan hujan lebat di Sittwe sambil melaungkan slogan.
Ketua bantahan di Sittwe, Aung Htay berkata, demonstrasi serentak akan diadakan di seluruh negeri ini.
“Kami membantah Benggali dihantar ke Rakhine,” katanya
Kebanyakan warga Myanmar termasuk kerajaan menggunakan perkataan Benggali untuk merujuk kepada etnik Rohingya.
Dianggarkan 1.3 juta etnik Rohingya di negara ini tidak diberikan kewarganegaraan dan menghadapi kesukaran untuk bergerak, mengembangkan keluarga dan mendapat pekerjaan.
Seorang lagi penganjur bantahan Tin Maung Than menjangka lebih 200 menghadiri protes di Maungdaw, lokasi paling hampir dengan tempat tahanan pelarian terbabit.
“Kami sedang mengumpulkan orang ramai untuk mengadakan bantahan terhadap orang Benggali di sini,” katanya.
Risalah mempromosikan rancangan bantahan itu diedarkan kepada orang ramai yang menggesa mereka ‘lindungi masa depan Rakhine’ dan merujuk pendatang sebagai ‘Kalar’, perkataan bersifat perkauman untuk menggambarkan penduduk Islam Myanmar.
Sentimen anti-Islam semakin meningkat di seluruh Myanmar beberapa tahun kebelakangan ini dengan sami radikal dituduh mencetuskan ketegangan agama.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:39 AM


Sami pelatih memegang poster ketika protes bantuan diberikan kepada pelarian Rohingya di Sittwe.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57912#sthash.UtmKEusi.dpuf

No comments:

Post a Comment