Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abdul Rahim Abdullah berkata, polis telah diarahkan untuk meningkatkan pemantauan di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam dengan kerjasama Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengelak dibolosi PATI.
“Maklumat ini diterima melalui risikan yang telah dijalankan oleh anggota kita dan setakat ini PATI tersebut masih berada di kawasan Danok.
“Kita akan mengetatkan kawalan di kawasan sempadan bagi mengelakkan mereka dibawa masuk oleh tekong-tekong,” katanya di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahim, selepas kem pemerdagangan manusia di Perlis dibongkar pihaknya masih belum menerima laporan me­ngenai kewujudan kem yang sama di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam-Thailand.
“Di Kubang Pasu setakat ini tidak ada, namun pemantauan akan terus dijalankan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan,” jelasnya.
Tambah Abdul Rahim, pihak polis juga tidak akan berkompromi jika terdapat anggota yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia itu.