Manas Khongpaen
Mejar Jeneral Manas Khongpaen berkata, dia bersedia untuk didakwa dan dibicarakan.
“Saya akan bekerjasama dalam kes ini. Apa juga keputusan mahkamah, akan saya terima,’’ katanya kepada wartawan dalam perjalanan ke balai polis di Padang Besar, selatan Thailand.
Manas dituduh melakukan pelbagai kesalahan jenayah termasuk perhambaan manusia berumur bawah 15 tahun di beberapa buah lokasi termasuk kanak-kanak berusia tujuh tahun di selatan Thailand, Bangladesh dan Myanmar antara November 2012 dan Mei tahun ini.
Terdahulu, Mahkamah wilayah Na Thawi, meluluskan pengeluaran waran tangkap terhadapnya, lapor portal The Nation.
Permohonan bertulis itu diserahkan oleh Mejar Jeneral Polis, Paween Phongsirin, seorang komander kawasan bertanggungjawab di wilayah di selatan dan siasatan isu sindiket pemerdagangan manusia di Thailand.
Manas, 58, berkhidmat sebagai penasihat beberapa jawatan pen-ting di wilayah selatan termasuk memegang jawatan Ketua Tentera bagi kawasan Chump-hon dan Ketua Pasukan Tentera Darat Daerah Ke-42 di Songkhla.
Waran tangkap itu dikeluarkan susulan penemuan bukti mengaitkan Manas dengan sindiket itu iaitu slip transaksi bank tertera namanya sebagai penerima sejumlah besar wang ketika serbuan di rumahnya bulan lalu.
Setakat ini, Manas merupakan anggota tentera paling kanan yang masih berkhidmat terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia itu. – Reuters/Agensi