Lelaki itu merupakan sebahagian daripada anggota sindiket penyeludupan manusia di sempadan yang dibongkar selepas penemuan 139 kubur dan kem-kem transit di Wang Kelian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Penahanan lelaki itu dijangka membantu siasatan pihak berkuasa Malaysia dan Thailand bagi mengesan ‘Yassin’ sebenar, yang dipercayai menjadi ejen besar sindiket pemerdagangan manusia tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid memberitahu, pihak polis mendapatkan bantuan daripada polis Thailand untuk menangkap dalang sebenar aktiviti penyeludupan itu.
Menurutnya, dengan kerjasama daripada pihak berkuasa negara terbabit, beberapa suspek telah dikenal pasti dan ditangkap namun Yassin sebenar masih diburu.
“Kami percaya Yassin berada di Thailand dan kerjasama sedang dilakukan pihak berkuasa untuk menahan suspek ini serta membawanya ke Malaysia dan kemudiannya didakwa mengikut undang-undang negara ini,” katanya selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut tentang kem kedua yang ditemui di Hutan Simpan Mata Aye, Wang Kelian, Ahmad Zahid mendedahkan, penemuan itu adalah kem sementara yang menjadi transit penyeludup ketika mereka diburu oleh pihak berkuasa negara jiran.
“Memang ada penemuan di sempadan tetapi dapatan yang diperoleh mendapati kem di sebelah Malaysia merupakan kem sementara tetapi di Thailand pula adalah kem semi kekal.
“Kem ini ditubuhkan apabila pendatang tanpa izin dikejar oleh pihak berkuasa jiran dengan menggunakan lorong-lorong tikus atau jalan yang sah,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan tentang penemuan kem mangsa pemerdagangan manusia terbesar di hutan simpan terbabit, yang terletak 100 meter dari sempadan Tha Lok, Sadao.