SATUN - THAILAND. Kampung Puyu atau lebih dikenali sebagai Kampung Puju dalam kalangan rakyat Malaysia, dipercayai menjadi antara pintu masuk utama bagi sindiket pemerdagangan manusia membabitkan pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh.

Kampung ini terletak bersebelahan Kampung Syed Omar dan Bukit Bintang di Perlis dan dipisahkan hutan tebal Gunung Perlis yang juga menjadi kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Kampung Puyu yang majoriti penduduknya beragama Islam hanya boleh dihubungi melalui jalan laut yang mengambil masa kira-kira sejam setengah perjalanan daripada Kuala Perlis dan 30 minit daripada Jeti Tammalang, Thailand.

Difahamkan kampung ini akan dijadikan lokasi pertama bagi 'mengurung' pelarian selepas bot yang membawa mereka tiba di darat dari Lautan Andaman.

Bermula dari Kawthaung (Myanmar), pelarian dipercayai dibawa menuju Ranong, Phuket, Phang Nga, Krabi dan Trang di Thailand sebelum memasuki Malaysia melalui  Satun.
Ramai mungkin tertanya-tanya bagaimana pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh memasuki Malaysia dan di mana mereka ditempatkan sebelum dijual kepada pasaran gelap.

Penulis bertemu seorang pemandu pelancong di Satun yang hanya mahu dikenali sebagai Lan dan bersedia untuk bercakap.

Namun Lan meminta kami agar menyamar sebagai pelajar universiti bagi mengelak daripada mendapat perhatian dan kejadian tidak diingini.

Dia yang bersetuju membawa kami meninjau beberapa kawasan persinggahan bot pemerdagangan manusia berkata Kampung Puyu yang bersempadan dengan hutan tebal dianggap kawasan strategik kerana turut mempunyai banyak kampung kecil dan laluan tikus.

"Di sini kalau tanya orang tempatan, memang banyak yang tahu pasal ini. Tapi banyak yang tak berani bersuara sebab di sini ada juga orang tempatan yang turut terlibat dalam sindiket,” katanya dan mengingatkan kami perlu berhati-hati ketika menyebut mengenai Rohingya.

Perjalanan melalui laluan tikus daripada Kampung Syed Omar hanya memerlukan sekitar satu jam untuk sampai ke batu sempadan Thailand, dan beberapa jam lagi melalui hutan untuk sampai ke kaki bukit Kampung Puyu.

Hutan yang sama turut menyambungkan Bukit Bintang, Wang Mu, Wang Kelian dan Hutan Simpan Felda Mata Ayer di mana beberapa kem transit dan kubur dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditemukan pada 19 Mei lepas.

Lan menjelaskan bukti kuat yang menunjukkan Kampung Puyu menjadi pintu masuk sindiket ialah selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap ketua kampungnya yang dipercayai menjadi antara orang kanan kepada ketua sindiket di Satun iaitu Pajjuban Angchotipon.

Media Thailand melaporkan bahawa Pajjuban yang melarikan diri bagaimanapun menyerah diri di Bangkok beberapa hari kemudian selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya.

Beberapa orang lagi ketua kampung di Satun termasuk ketua kampung Tanjung Pao, Chebilang dan Pulau Jetuk turut dilaporkan terlibat sebagai orang kanan Pajjuban.

Kampung-kampung ini dipercayai menjadi transit kepada bot yang membawa pelarian sama ada untuk mengambil makanan atau mendapat ‘kebenaran’ sebelum berlabuh di Kampung Puyu.

Seorang anggota jawatankuasa Kampung Tanjung Pao yang tidak mahu namanya didedahkan mengakui kawasan tempat tinggalnya menjadi tempat persinggahan sementara kapal yang membawa pelarian Rohingya.

"Mereka selalunya tidak singgah lama di sini, tak sampai satu hari.

Selalunya bila mereka singgah di sini, akan ada orang-orang tempatan yang bekerja dengan mereka membawa makanan dan minyak petrol kepada mereka," katanya.

Dia yang berumur awal 60-an dan menetap di Tanjung Pao sejak kecil berkata, Thailand hanya menjadi tempat transit kepada sindiket pemerdagangan manusia sebelum menjual mangsa ke Malaysia dan Indonesia yang menjadi pilihan utama mangsa.

Bagaimanapun, dia berkata beberapa buah pulau kecil berhampiran Satun di Lautan Andaman turut dipercayai menjadi kem tahanan sementara pelarian.

Tanjung Pao terletak kira-kira 13 kilometer (km) daripada Jeti Tammalang yang menyediakan bot tambang ke Kampung Puyu dan kira-kira 17 km daripada bandar Satun.  

Dalam pada itu, seorang warga emas di Kampung Chebilang yang hanya mahu dikenali sebagai Kuna mengakui sering melihat dua 'kapal besar tiga tingkat' yang dipercayai memuatkan mangsa pemerdagangan manusia berlabuh di jeti kampungnya.

"Kami memang selalu tengok tapi dia tak singgah lama di sini. Tak tahu pula ada sindiket begini, sehinggalah beberapa orang di kampung ini sendiri ditahan. Banyak pihak terlibat. Semuanya bekerja untuk satu tauke besar," katanya.

Kampung Chebilang terletak kira-kira 13 km dari bandar Satun dan tujuh km dari Tanjung Pao.

Penduduk Melayu di kedua-dua kampung berkenaan fasih berbahasa Melayu loghat  Kedah. - Bernama