Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah mendapat maklumat tentang individu terbabit dan tindakan selanjutnya akan dilakukan selepas ini.
Bagaimanapun, Khalid berkata, PDRM tidak akan mendedahkan identiti atau maklumat mengenai individu berkenaan kerana siasatan lanjut masih lagi dijalankan.
“Untuk makluman semua, nama Yassin ini adalah nama biasa dalam kalangan masyarakat Rohingya dan bukannya ada seorang sahaja yang bersama Yassin.
“Tetapi Yassin yang kita cari, kita tahu siapa dia dan tindakan selanjutnya akan dijalankan,” katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM di Mes Pegawai, Bukit Aman, di sini hari ini.
Yang turut hadir menerima pemakaian pangkat itu adalah Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang baharu, Datuk Jamshah Mustapa, Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) I, Datuk Abdul Hamid Bador, Timbalan Pengarah SB II, Datuk Leo Chong Cheong dan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Zainal Abidin Kassim.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Rohingya Society in Malaysia (RSM) Kedah, Yusof Ali mendedahkan, kem-kem transit yang ditemui pihak berkuasa Malaysia di kawasan hutan Wang Kelian, Perlis dipercayai diguna untuk menempatkan mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia yang ‘dibeli’ oleh ejen besar sindiket itu dikenali dengan nama ‘Yassin’.
Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah, Mohd. Noor Abu Bakar pula mendakwa, nama ‘Yassin’ yang dipercayai menjadi ejen besar sindiket pemerdagangan manusia dikatakan tidak hanya merujuk kepada seorang individu namun digunakan oleh beberapa lelaki etnik Rohingya lain yang terlibat dalam jenayah berkenaan.
Semalam Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, polis kini sedang menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengesan Yassin yang dipercayai menjadi dalang aktiviti jenayah itu.
Dalam perkembangan sama, ketika ditanya tentang penglibatan penguat kuasa dalam kes berkenaan, Khalid sekali lagi menyatakan komitmen untuk mengambil tindakan tegas jika terdapat siasatan mendapati wujud perkara seumpama itu.
“Kita tidak akan berkompromi, jika ada kami akan ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada.
“Kita juga akan mengumpul bukti jika terdapat laporan mengaitkan badan penguat kuasa dalam jenayah ini,” ujarnya.