Thursday 4 June 2015

Rohingya di Bangladesh bimbang


REUTERS - SEBAHAGIAN kanak-kanak dirakam di kem pelarian di Kutupalong pada 31 Mei lalu.


KUTUPALONG, Bangladesh – Etnik Islam Rohingya yang berhijrah dan berlin­dung di beberapa pusat penempatan di sini sejak 20 tahun lalu bimbang akan dihalau keluar dari negara ini.
Kerajaan Bangladesh pada masa kini dikatakan sedang mengadakan perbincangan untuk menghantar mereka ke sebuah pulau di Teluk Bengal sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada masalah etnik minoriti tanpa negara itu yang kini menjadi krisis pelarian serantau.
“Ini rumah untuk kami sekarang, kami aman di sini. Kami tidak yakin kami akan selamat di tempat lain,” ujar Nur Alam yang menyeberangi Sungai Naf yang memisahkan antara Bangladesh dan Myanmar dengan sebuah bot kecil pada 1991.
Pada masa kini, kira-kira 33,000 orang lelaki, wanita dan kanak-kanak berhimpit di dua kem usang di Kutupalong dan Nayapara, dekat sempadan Myanmar yang dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Bangladesh.
Masih terdapat 200,000 hingga 400,000 lagi etnik Rohingya berada di kem dan bukit berhampiran tetapi tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan sebagai pelarian. Mereka ini bakal dihantar semula ke Myanmar iaitu tempat mereka ditindas.
HT Imam yang merupakan penasihat politik kepada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berkata, kewujudan ramai warga
asing tanpa pengenalan sah atau bekerja menyebabkan pelbagai masalah kepada penduduk tempatan sekali gus menghalang pembangunan negara.
“Etnik Rohingya ialah penduduk Myanmar dan mereka perlu pulang. Kami bersimpati, namun tidak lagi mampu melindungi mereka,” ujarnya.
Tumpuan antarabangsa mengenai nasib etnik Ro­hingya dipandang serius sejak beberapa minggu lalu apabila lebih 4,000 pelarian ditemui terkandas dalam bot usang di pantai Asia Tenggara.
– Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3c2VDs0IW 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment