Tuesday 2 June 2015

Polis perketat kawalan di sempadan


KOTA BHARU: Polis Kelantan akan mempertingkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi mengawal aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, selain mengawal kegiatan penyeludupan, kawalan yang lebih ketat itu dilakukan berikutan isu pemerdagangan manusia semakin berleluasa pada masa ini.

"Pada mesyuarat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu, agensi-agensi berkaitan telah berbincang untuk mengadakan operasi secara bersama bagi mengawal kawasan sempadan.

"Kita akan mengadakan kawalan secara bersama contohnya bulan ini ada operasi yang dibuat Jabatan Imigresen, kemudian operasi dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan kita akan saling bantu membantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis meraikan The Red Cops yang muncul juara kejohanan futsal Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2015, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan mengadakan sekatan jalan raya secara bersama dengan ATM di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Tumpat hingga ke Jeli.

"Kita akan tempatkan dua anggota polis bagi membantu pihak tentera untuk mengawal. Dengan adanya polis, dapat memudahkan pihak tentera melakukan pemeriksaan.

"Operasi lebih kerap juga akan diadakan di kawasan-kawasan tumpuan terutama di pintu masuk utama yang sah bagi mengawal aktiviti penyeludupan," katanya.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 10:38 PM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54986#sthash.RsL3dGz8.dpuf

No comments:

Post a Comment