Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sehingga kini, pihaknya sedang menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan terhadap rakyat tempatan yang terlibat.
“Kita juga masih mengesan dia (Yassin),” katanya yang tidak menjelaskan dengan lebih lanjut sama ada rakyat tempatan yang membantu Yassin itu anggota penguat kuasa atau orang awam.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bendera Sang Saka Biru sempena Kejohanan World Police & Fire Games 2015 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Sebelum ini, pihak polis yang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand mengenal pasti lelaki Rohingya yang menggunakan nama Yassin dipercayai menjadi dalang sindiket pemerdagangan manusia melibatkan etnik tersebut. Nama Yassin juga disebut oleh mangsa-mangsa pemerdagangan manusia disyaki berasal dari Myanmar berumur lingkungan 30-an dan dipercayai tinggal di selatan Thailand, manakala operasi sindiket pemerdagangan manusia dike­tuainya pula menjangkau sehingga ke negara ini.
Kegiatan sindiket tersebut terbongkar pada 31 Mei lalu selepas pihak polis mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.
Sementara itu, mengulas mengenai fasa kedua Op Wawasan yang bermula hari ini, Khalid memberitahu, sebanyak lapan kenderaan dibenarkan masuk ke Thailand menggunakan laluan Ban Talok dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk proses membawa keluar mayat di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.
Menurut beliau, pihaknya menjangkakan proses ini akan selesai sebelum 10 Jun ini.
“Kita juga bersedia menerima keputusan Kementerian Pertahanan jika mereka ingin menempatkan anggota tentera untuk membantu kawalan di sempadan,” ujar beliau ringkas.
Mengenai Kejohanan World Police & Fire Games 2015, Khalid berkata, seramai 121 atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyertai kejohanan yang diadakan di New York, Amerika Syarikat bermula 23 Jun hingga 5 Julai ini.