Saturday 27 June 2015

Pegawai Myanmar seludup Rohingya – AS


27 Jun 2015 1:16 AM

WASHINGTON 26 Jun - Segelintir pegawai kerajaan Myanmar dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan dan pencabulan hak asasi etnik Islam Rohingya susulan laporan yang mendakwa etnik minoriti itu berdepan risiko dibunuh, dirogol, diseksa, dan ditahan tanpa waran semasa berada dalam tahanan pihak berkuasa di negara itu.
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam laporannya kepada Kongres AS mendedahkan, pihak keselamatan dan pegawai kerajaan Myanmar mengaut keuntungan menerusi kerjasama dengan sindiket jenayah untuk menyeludup keluar penduduk Rohingya dari negara itu.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa di negeri Rakhine, barat Myanmar tidak melakukan sebarang usaha untuk membantu masyarakat Rohingya dan etnik Islam lain yang menjadi pelarian ekoran keganasan kaum dan agama pada 2012 supaya mereka boleh kembali ke rumah mereka semula.
Sebaliknya kata laporan itu, masyarakat minoriti tersebut dikenakan sekatan yang melampau termasuk diwajibkan mendapatkan permit untuk berkahwin dan tidak dibenarkan keluar dari kem perlindungan walaupun untuk mendapatkan bekalan makanan, beribadat, dan perkhidmatan lain.
“Pada Julai tahun lalu, kerajaan Myanmar membubarkan NaSaka, sebuah pasukan keselamatan yang bertanggungjawab melakukan pe­langgaran hak asasi manusia terhadap umat Islam di negara itu.
“Namun sehingga kini, tiada pegawai kerajaan atau anggota ke­selamatan yang ditahan dan disiasat berhubung insiden penindasan terhadap etnik Islam Rohingya,” jelas laporan tersebut seperti dilaporkan portal DAWN.
Laporan berkenaan juga mendedahkan keadaan penjara Myanmar yang disifatkan sebagai terburuk, dengan beratus-ratus penduduk Rohingya dilaporkan ditahan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa Myanmar.
Mangsa juga dipercayai dipukul, didera, dan berpuluh-puluh tahanan dilaporkan terbunuh semasa berada dalam tahanan pihak berkuasa Myanmar.
“Dasar penindasan yang diterap­kan oleh kerajaan Myanmar ini secara jelas menyebabkan jurang yang lebih besar antara etnik Ro­hingya dan penduduk asal Ra­khine,” ujar laporan tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pegawai-myanmar-seludup-rohingya-8211-as-1.107566#sthash.xtLMFNu6.dpuf

No comments:

Post a Comment