Akhbar New York Time memetik kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden, U Zaw Htay sebagai berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengubah polisi negara ini yang menafikan etnik Rohingya sebagai penduduk negara ini.
“Tiada sebarang perubahan kepada polisi kerajaan terhadap Benggali,” jelas U Zaw yang menggunakan gelaran Benggali tersebut sebagai merujuk kepada Rohingya.
Selepas menerima tekanan antarabangsa untuk memerangi sindiket pemerdagangan manusia, U Zaw berkata, kerajaan sanggup bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu bagi memantau pergerakan bot-bot di kawasan perairan Myanmar.
Bagaimanapun, pakar berpendapat berdasarkan kepada sikap Myanmar yang tidak mengambil berat tentang hal ehwal Rohingya, komitmen mereka untuk memantau bot-bot berkenaan dijangka tidak kekal lama.
“Sindiket pemerdagangan manusia melibatkan penggunaan laluan laut sudah semakin berkurang, berdasarkan pemerhatian pengurangan ini bukan disebabkan oleh tindakan undang-undang yang diambil tetapi disebabkan oleh faktor cuaca,” kata sumber.
Sejak beberapa bulan lalu berpuluh-puluh ribu penduduk Islam Rohingya melarikan diri dari negara ini, sehingga menimbulkan krisis penyeludupan manusia di rantau Asia Tenggara.
Dalam pada itu, harapan untuk melihat Myanmar mengubah polisi untuk memberikan kewarganegaraan kepada etnik Rohingya semakin berkurangan.
Apabila delegasi kerajaan pulang dari pertemuan berhubung isu penyeludupan manusia itu di Thailand baru-baru ini, media rasmi Myanmar memuji para pegawai berjaya menolak tuduhan orang hanyut terbabit berasal dari Myanmar.