Friday 5 June 2015

Rohingya Disembunyi Di Perai, Dibunuh Jika Berhubung Dengan Orang Luar


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 9:30 AM

BUTTERWORTH: Kebanyakan etnik Rohingya yang dibawa masuk ke negeri ini oleh sindiket pemerdagangan manusia ditempatkan dalam jumlah yang ramai di rumah sewa di sekitar Perai.
Tinjauan Bernama di kawasan itu mendapati kebanyakan mereka bekerja di kilang-kilang kecil di Mak Mandin, Bagan Dalam dan Perai serta tapak pembinaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Nurul Islam Yusuf Jalal, 63, yang tinggal di negara ini sejak 1986, berkata terdapat beberapa anggota keluarga dan kenalannya yang memasuki negara ini melalui sindiket pemerdagangan manusia yang turut didalangi orang Rohingya sendiri.
Ejen-ejen sindiket memujuk etnik Rohingya di Myanmar untuk datang ke Malaysia dengan menjanjikan mereka pekerjaan sebaik tiba di Malaysia, katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata sebaik tiba di negara ini, mereka akan ditempatkan di kawasan berhampiran kilang dan tapak pembinaan dan ada yang dijadikan hamba serta dikawal ketat anggota sindiket.
"Mereka (yang menjadi hamba) ini menetap dalam jumlah yang ramai di rumah sewa sekitar negeri ini, paling banyak di Perai dan kehidupan mereka dikawal sindiket serta setiap bulan terpaksa menyerahkan sejumlah wang kepada anggota sindiket.
"Mereka juga langsung tidak boleh berhubung dengan orang luar dan jika didapati berbuat demikian, pelarian dan orang yang dihubungi itu akan dibunuh," kata Nurul Islam.
Beliau yang memasuki negara ini secara sendiri dan pemegang kad UNHCR, berkata kegiatan sindiket yang menawarkan pelarian Rohingya untuk dibawa ke Malaysia bermula sejak 2009.
"Tetapi tidak semua yang sampai dengan selamat di sini kerana ada yang dibunuh dan dibiarkan mati selepas tidak membayar wang," kata Nurul Islam.
Jamaludin Jamal, 49, pula berkata beliau bekerja di sebuah kilang pakaian sebaik tiba di negeri ini empat tahun lepas selepas melalui perjalanan yang jauh dan pengalaman pahit diuruskan sindiket pemerdagangan manusia.
"Kira-kira 100 orang menaiki tongkang yang sama dengan saya ketika itu tetapi yang selamat tiba dan bekerja di sini tak sampai 70 orang kerana yang lain dibuang ke laut selepas sakit teruk dan mati dalam kurungan selepas keluarga tidak mampu membayar bayaran kepada sindiket.
"Kebanyakan yang selamat diarah bekerja di kilang sekitar ini (Mak Mandin dan Perai), gaji kami juga terpaksa diberikan separuh kepada anggota sindiket hampir enam bulan," katanya.
Seorang penyelia sebuah tapak projek pembinaan di Bukit Mertajam yang hanya mahu dikenali sebagai Teh berkata kebanyakan buruh di tapak pembinaan sekitar kawasan itu adalah orang Rohingya.
"Ada yang mempunyai kad UNHCR tapi kebanyakan memang tak ada apa-apa dokumen. Kami dapat pekerja menerusi ejen yang menguruskan mereka. Selalunya yang baru bekerja mereka dalam keadaan kurus kerana melalui perjalanan yang jauh atau dikurung pihak sindiket," katanya.
Teh berkata gaji yang ditawarkan kepada pelarian Rohingya juga lebih murah berbanding pekerja lain kerana tidak memiliki dokumen dan pihaknya menyediakan rumah kongsi untuk mereka tinggal.
"Kebanyakan mereka mempunyai kemahiran dalam pertukangan dan rajin bekerja kerana mencari wang untuk bayar hutang dengan sindiket," kata Teh.
Pemilik kedai makan di Mak Mandin yang hanya mahu dikenali sebagai Zubaidah berkata golongan wanita Rohingya yang tinggal di kawasan berkenaan biasanya tidak bekerja dan tinggal di rumah menjaga anak-anak.
Beliau berkata ada juga beberapa rumah sewa di situ yang didiami sehingga tiga keluarga Rohingya dalam sebuah rumah.
"Selalunya yang datang awal akan benarkan keluarga atau kenalan mereka yang baru tiba di negeri ini untuk tinggal bersama, ada juga yang datang ke kedai saya untuk cari kerja tapi saya tidak berani ambil," katanya.

No comments:

Post a Comment