KUALA LUMPUR - 'Dakwa mereka atas kesalahan membunuh beramai-ramai'.

Ini pendapat beberapa penganalisis jenayah merujuk kepada kes pemerdagangan manusia berikutan penemuan kem tahanan dipercayai menjadi 'sangkar' kepada pelarian Rohingya dan pendatang dari Bangladesh di Perlis baru-baru ini.

Bagi penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim walaupun kes berkenaan lebih menjurus ke arah kesalahan pemerdagangan manusia, tetapi kerana kes ini melibatkan kematian mangsa, mereka yang terlibat mungkin juga didakwa di atas kesalahan membunuh.

"Saya tidak rasa ia sesuatu yang ganjil jika pesalah terbabit dituduh serentak berdasarkan penglibatan mereka dalam kes-kes terlibat," katanya kepada Bernama.

Pada akhir Mei lepas, negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Setakat ini, 106 mayat telah dijumpai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa beberapa dalang sindiket telah diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia.

Mengulas lanjut, Kamal Affendi berkata dalang yang terlibat boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) berikutan penglibatan mereka dalam kes ini.

Antara lain, menurutnya, di bawah Seksyen 302 (bagi kesalahan membunuh orang lain) memperuntukkan barang siapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.

Selain dalang, Kamal Affendi berkata tindakan keras juga harus dilaksanakan terhadap mereka yang menyembunyikan maklumat mahupun bersubahat dalam kes ini.  

Turut senada, seorang lagi penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berkata dakwaan sedemikian akan memberi pengajaran supaya jenayah yang sama tidak lagi diulang.

"Mana boleh bunuh orang. Ini satu bentuk penganiayaan. Jadi tindakan sewajarnya harus diambil semoga ia menjadi pengajaran," katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap satu perancangan konkrit termasuk penambahbaikan kawalan sempadan dapat dilaksanakan kerajaan, supaya kegiatan pemerdagangan manusia ini dapat terus dihalang.

Sementara itu Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata mereka yang terlibat dalam sindiket berkenaan turut sama-sama terlibat dalam jenayah genosid.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada bukti kerana kalau ada cukup bukti barulah kita boleh bawa pesalah ini ke muka pengadilan," katanya.  

Pengerusi Jawatankuasa Migran, Orang Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam Datuk M. Ramachelvam turut sependapat dan positif bahawa siasatan yang telus perlu dalam menghukum mereka terlibat seadil-adilnya.

Katanya sama ada mereka didakwa di bawah akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 atau Kanun Keseksaan, ia perlu melalui siasatan konklusif.

Selasa lepas,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata dalang sindiket penyeludupan manusia yang diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia boleh didakwa di bawah kedua-dua undang-undang.

Nancy bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan dan akan dinilai dari segi bukti.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia turut dilaporkan bercadang mengadakan siasatan awam berhubung kes yang sama. - Bernama