ISLAMABAD - PAKISTAN. Ribuan penduduk di Pakistan, kelmarin menyertai perhimpunan di seluruh negara sebagai tanda sokongan kepada penduduk Islam Rohingya yang menjadi mangsa penindasan di Myanmar.

Perarakan disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk pertubuhan agama itu bertujuan untuk menggesa kerajaan Pakistan untuk membantu melindungi etnik tersebut.

Difahamkan melalui laporan Press TV, perhimpunan terbesar telah diadakan di Karachi, di mana kumpulan penunjuk perasaan tersebut turut melaungkan slogan sebagai tanda solidariti kepada penduduk Rohingya.

Jurucakap kumpulan itu memaklumkan tujuan utama mereka adalah untuk mendesak kerajaan Myanmar supaya mengambil tindakan lebih tegas bagi menghentikan sebarang bentuk penganiayaan ke atas lebih 1.3 juta etnik  Rohingya yang tinggal di barat negara tersebut.

Di bandar Lahore, kumpulan penunjuk perasaan terbabit turut mengutuk pembunuhan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh pelampau Buddha ke atas etnik minoriti berkenaan.

Di Islamabad, ratusan penduduk bertindak menyelar masyarakat antarabangsa terutamanya negara Islam kerana terus berdiam diri dan membenarkan penindasan ke atas golongan tersebut berlaku secara berleluasa.

Dasar berbentuk diskriminasi dan keganasan berterusan di Rakhine didakwa menjadi faktor utama kebanjiran pelarian Rohingya di perairan Asia Tenggara pada bulan lalu.