Dalam kejadian pukul 11.26 malam itu, mangsa, Thar Htin, 23, dipercayai bergaduh dengan suspek berusia 31 tahun yang mabuk hingga dia akhirnya maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, lelaki yang memakai kemeja T berwarna putih dan seluar jeans biru itu dijumpai dengan kesan kecederaan di bahagian rusuk kiri.
“Pihak polis turut menemukan sebatang hulu penyodok yang telah patah dalam jarak kira-kira dua meter daripada mangsa manakala sebilah pisau berhulu plastik berukuran empat inci dan besi penyodok.
“Kesemua barang itu dijumpai di hadapan sebuah rumah di jalan yang sama. Jarak barang itu dengan mangsa adalah lebih kurang 100 meter selain terdapat kesan tompokan darah dipercayai milik mangsa di tempat kejadian," katanya.
Mohd. Shuhaily berkata, tindakan pantas polis yang menjalankan siasatan berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai suspek bagi kes itu.
Katanya, suspek ditahan semalam di hadapan Klinik Kerajaan Hutan Melintang iaitu kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.