SUASANA tenang di Wang Kelian dan kawasan sekitarnya sebelum ini tiba-tiba gempar dengan penemuan kubur besar dan khemah pelarian Rohingya di dalam hutan sempadan Malaysia-Thailand.

Tiba-tiba nama Wang Kelian menjadi tajuk muka depan akhbar. Anggota keselamatan mula memenuhi daerah ini. Walaupun kehidupan warganya berjalan seperti biasa, namun topik perbualan mereka tidak dapat lari dari memperkatakan mengenai kekejaman yang berlaku tidak jauh dari perkampungan mereka.

Malah ada suara sumbang menuduh sesetengah warga peniaganya mungkin antara watak yang mendalangi adegan pelarian malang itu. Sinar Harian kembali meninjau perkampungan sekitar Wang Kelian untuk melihat sejauh mana kejadian itu mempengaruhi kehidupan komuniti di situ.

Peniaga tempatan yang mencari rezeki berhampiran kompleks Imigresen Wang Kelian tidak pernah bersubahat dengan sindiket pemerdagangan manusia untuk membantu membawa masuk pendatang asing atau pelarian Rohingya ke nagara ini secara haram.

Seorang peniaga barang runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata, mereka hanya mahu mencari makan untuk menyara kehidupan keluarga dan tidak tergamak untuk mengkhianati keselamatan negara sendiri demi wang ringgit.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga adalah anak tempatan Wang Kelian dan mereka masih boleh berfikir secara waras dan tidak mudah kelabu mata dengan tawaran itu, jika ada.

“Kami hanya mahu mencari rezeki untuk kehidupan sekeluarga. Tidak pernah terlintas dalam hati saya untuk bersekongkol dengan sindiket yang boleh membahayakan keselamatan negara.

“Orang luar tahu apa. Mereka boleh buat macam-macam tuduhan kerana tidak tahu keadaan sebenar di sini. Kami tahu nilai keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Beliau diminta mengulas desas desus dan tohmahan pihak tertentu kononnya peniaga tempatan di sempadan negara termasuk Wang Kelian terlibat sama membawa masuk pelarian Rohingya secara haram ke negara ini.

Menurutnya, fokus mereka hanya kepada perniagaan harian dan tidak mempunyai masa untuk terlibat dengan aktiviti haram yang memberi kesan kepada diri sendiri dan negara.

“Kami mana ada masa untuk kerja macam tu. Kami berniaga dari pagi hingga petang. Kemudian balik rehat di rumah bersama ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, walaupun perniagaan agak merosot sejak kerajaan menarik balik “free-flow” untuk rakyat kedua-dua negara melintasi sempadan tanpa dokumen perjalanan mulai 1 April lalu, mereka masih tidak berputus asa dan meneruskan urusan seperti biasa.

“Memang keadaan agak teruk dan pendapatan menurun sejak arahan itu ditarik balik. Tetapi kami harap ia akan  diberi semula demi kebaikan kedua-dua negara.

“Dahulu ramai yang datang, terutama pada hujung minggu untuk membeli belah di seberang. tetapi kini keadaan agak sunyi dan pengunjung pun makin berkurangan,” katanya.


Pelarian jarang merayau

Jarang kelihatan pelarian Rohingya ditemui berkeliaran atau tersesat ke dalam kampung sekitar Wang Kelian setelah berjaya menyeberangi masuk ke negara ini secara haram.

Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Di berkata, sepanjang ingatannya hanya seorang atau dua yang tersesat ke kampung itu dan kemudian terus menuju ke masjid.

Beliau berkata, mereka tidak tahu ke mana nak dituju lantas memilih berada di masjid untuk meminta bantuan penduduk tempatan.

“Kali terakhir ialah tahun lalu apabila seorang pelarian datang ke masjid dalam keadaan tidak bermaya dan kelaparan.

“Kami menyuruhnya mandi dan membersihkan badan sebelum diberi pakaian dan makanan. Kemudian kami membuat laporan dan anggota polis datang mengambilnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, pelarian terbabit tidak pernah menggunakan pintu masuk sempadan di Wang Kelian kerana bimbang dikesan pihak berkuasa yang membuat kawalan di situ.

“Mungkin mereka menggunakan laluan haram untuk meloloskan diri ke negara ini dengan bantuan sindiket tertentu sebelum bergerak ke destinasi lain. Beliau berkata keadaan geografi turut menyukarkan pelarian Rohingya atau pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk bergerak bebas kerana dikelilingi dengan kawasan berbukit.

“Kampung ini mempunyai kira-kira 70 rumah dan kami mengenali semua penduduk atau satu sama lain kerana bilangannya tidak ramai.

“Rupa pelarian Rohingya dan Pati mudah dikenali kerana mereka berbeza dari segi rupa dan penampilan dengan penduduk tempatan,” katanya.

Menurutnya, rondaan oleh anggota polis pada waktu malam di situ turut mengekang kehadiran Pati dan pelarian di kampung berkenaan.

“Penduduk juga tidak pernah bertembung dengan pelarian pada waktu malam. Ini menunjukkan keadaan keselamatan kampung kami adalah terkawal,” katanya.


Penduduk tak sedar kejadian berlaku

Penduduk di sekitar Wang Kelian tidak sedar apa yang berlaku di kawasan sempadan Malaysia Thailand sehingga mendengar berita mengenai penemuan kubur besar yang memuatkan mayat pelarian Rohingya dua minggu lalu.

Kebanyakannya sibuk dengan tugas masing-masing dan jarang mengambil tahu perkembangan di sempadan kedua-dua negara kerana menganggapnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam kehidupan seharian mereka.

Menurut Abang Di lagi, penduduk tempatan juga jarang menyeberangi ke negara jiran atau ke bandar terdekat iaitu Satun kerana tidak mempunyai apa-apa urusan penting.

“Kami juga tidak sedar apabila kerajaan menarik balik kebenaran memasuki negara jiran sejauh satu kilometer tanpa dokumen perjalanan mulai 1 April lalu.

“Larangan itu turut membantutkan keinginan penduduk tempatan untuk berkunjung ke sempadan pada hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, kehadiran begitu ramai anggota polis selepas tersebar penemuan kubur itu turut menjadi bualan penduduk tempatan kerana jarang melihat bilangan yang begitu besar.

“Dalam keadaan biasa, tidak ramai anggota polis yang berada atau bertugas di pintu masuk sempadan di Wang Kelian.

"Jadi bila ramai anggota yang berada di sini, ada penduduk yang panik pada peringkat awal,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawalan keselamatan ke pintu masuk sempadan ditingkatkan sejak penemuan kubur itu.

Jika sebelum ini, hanya satu pemeriksaan keselamatan oleh anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sebelum memasuki kompleks Imigresen.

Kini terdapat dua lagi kawalan keselamatan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran kompleks Imigresen dan berhampiran simpang masuk ke Bandar Kaki Bukit.

Kenderaan dan trak polis juga kelihatan berulang alik ke pintu sempadan.

Kenderaan awam dari negara ini makin berkurangan menuju ke negara jiran berbanding kenderaan Thailand yang masih banyak memasuki Malaysia.


Kes penyeludupan barang berkurangan

Sistem percukaian baharu yang diperkenalkan kerajaan telah berjaya mengurangkan kes penyeludupan barang di kawasan sempadan. Perkara itu disahkan oleh Adun Titi Tinggi, Khaw Hock Kong ketika ditemui di Pusat Khidmatnya, di Padang Besar.

“Saya dapat melihat kes penyeludupan barang sudah berada pada tahap minimum dan semakin berkurangan. “Ini kerana sistem percukaian yang dikenakan adalah sekitar 5 peratus sehingga sifar berbanding pada sebelumnya yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, kadar percukaian yang rendah menyebabkan mereka yang berkenaan tidak perlu lari lagi daripada membayar cukai.

“Situasi penyeludupan barang memang sudah tidak seperti dahulu. Cuma dari segi penyeludupan minyak saya tidak dapat kepastian,” katanya.


Sindiket dalangi kemasukan pelarian Rohingya

Kemasukan pelarian Rohingya ke Malaysia dipercayai didalangi sindiket tertentu untuk membolosi pintu sempadan.

Hock Kong berkata, kegiatan itu tersebut bukan perkara baru kerana sudah berlarutan sejak sekian lama. “Isu ini tidak selalu berlaku, lama-lama sekali baru kita dengar mengenai kehadiran mereka di kawasan sempadan.

“Dari dulu lagi memang sudah ada, tetapi tidak banyak seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Menurutnya, lambakan pelarian Rohingya ke negara ini untuk menyelamatkan diri dari menjadi mangsa pembunuhan di Myanmar.

“Mereka masuk melalui negara jiran setelah membina penempatan sementara di kawasan hutan simpan yang terletak di puncak bukit.

“Tiada laluan khas untuk sampai ke lokasi itu dan ia sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, keluasan sempadan yang terlalu panjang juga antara faktor yang menyebabkan ia sukar dikawal.

“Kadang-kadang di pagar sempadan pun terdapat lubang. Bila kita baiki, ia akan dipotong semula.

“Kita sukar nak kawal sebab mereka tahu bila rondaan dibuat dan bila peluang untuk mereka membolosi pintu sempadan,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan sindiket itu turut mengawasi pergerakan peronda di sempadan negara jiran.

“Saya percaya pelarian yang terlepas sebelum ini mungkin dibantu oleh sindiket untuk membolosi pintu sempadan.

“Tetapi mereka hanya menjadikan kawasan Padang Besar sebagai  transit sementara sebelum dibawa menetap di suatu lokasi lain yang tidak diketahui,” katanya.


Hati-hati salur bantuan 

Malaysia perlu lebih berhati-hati ketika menyalurkan bantuan kepada pelarian Rohingya di negara ini.

Hock Kong berkata, ia melibatkan perbelanjaan kewangan yang begitu besar dalam soal penyediaan penempatan, makanan, kesihatan dan sebagainya.

“Kita boleh terima mereka atas faktor kemanusiaan dan wajar beri perlindungan sementara, mungkin selama enam bulan sahaja.

“Tetapi kita juga bimbang dengan penularan penyakit berjangkit dan berbahaya yang mungkin dibawa mereka ke Malaysia,” katanya.

Menurutnya, soal kesihatan adalah perkara serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya supaya tidak memberi kesan sampingan kepada masyarakat negara ini.

“Sedangkan bayi yang baru lahirm pun diberi vaksin, apatah lagi dengan pelarian Rohingya yang mungkin menghidapi pelbagai penyakit.

“Pada masa sama, kita perlu menyediakan pendidikan asas sementara kepada mereka yang berkenaan,” katanya.

Hock Kong berkata, Malaysia menjadi pilihan kerana disifatkan sebagai sebuah negara yang baik hati dan berperikemanusiaan.

“Mereka tidak pergi negara lain misalnya Singapura sebab sebelum masuk lagi pintu sudah ditutup tidak seperti Malaysia. “Tetapi mereka pilih Malaysia sebab kita boleh melindungi mereka,” katanya.