Pusat Asia untuk Hak Asasi Manusia (ACHR) dalam laporannya hari ini berkata, Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Orang Pelarian (UNHCR) memaklumkan bahawa pihaknya menyediakan bantuan kepada lebih 32,000 etnik Rohingya yang berdaftar di dua kem rasmi di Nayapara dan Kutupalong di Bangladesh.
Namun jelas ACHR, nasib kira-kira 200,000 hingga 500,000 etnik tersebut yang tidak berdaftar dengan UNHCR di Bangladesh masih samar kerana mereka memerlukan perlindungan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan.
Selain itu laporan berkenaan menambah, pelarian yang tidak berdaftar juga berisiko tinggi untuk direkrut menjadi pengganas dan dipercayai lebih 200,000 etnik Rohingya di Bangladesh menunggu masa untuk diseludup ke negara Asia Tenggara.
“Walaupun UNHCR dan kerajaan Bangladesh sedar tentang risiko tersebut, kedua-dua pihak dengan sengaja tidak mendaftarkan pela­rian Rohingya menyebabkan etnik itu menjadi mangsa penyeludupan dan terlibat dengan kegiatan pengganas Pertubuhan Solidariti Rohingya (RSO).
“Ramai pelarian Rohingya dilapor terlibat dalam serangan terhadap masyarakat Buddha di Bangladesh termasuk beberapa siri serangan pada tahun lalu,” jelas ACHR menerusi laman web rasminya.
Dalam pada itu, Pengarah ACHR, Suhas Chakma membangkitkan sikap hipokrit masyarakat dunia yang hanya memainkan peranan kecil dengan menyokong resolusi PBB berbanding menyediakan perlindungan kepada etnik Rohingya atau berkongsi penderitaan di kem pelarian.
Tegas Chakma, krisis Rohingya tidak boleh diselesaikan dengan menempatkan etnik tersebut di kawasan terpinggir seperti di Bukit Chittagong di Bangladesh, di negara Asia Tenggara atau negara Arab.
“Masyarakat dunia perlu memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi memastikan krisis ini diselesaikan secara konsisten mengikut piawaian antarabangsa hak asasi manusia.
“Saya mencadangkan agar proses pendaftaran etnik Rohingya oleh UNHCR disegerakan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan pengganas selain menutup kem pelarian di Chittagong untuk membolehkan mereka pulang ke Myanmar,” katanya.