Menurut laporan portal Bangkok Post, Manas menafikan penglibatan dalam kes tersebut walaupun disiasat selama lapan jam oleh pihak polis dan pendakwa raya sambil dipantau oleh pegawai perundangan tentera dari Unit Tentera ke-42 di Hatyai.
Jeneral berpangkat tiga bintang itu didakwa atas 13 pertuduhan, sama seperti 51 suspek yang disyaki terlibat dalam kes penyeludupan manusia melibatkan rakyat Bangladesh dan etnik Rohingya di selatan Thailand ke Malaysia.
Jelas laporan berkenaan, dakwaan tersebut melibatkan memperdagangkan kanak-kanak, penyeludupan pendatang asing ke dalam negara, mengurung mangsa pemerdagangan, meminta wang tebusan, melakukan jenayah antara sempadan negara, menyerang mangsa, dan menyembunyikan mayat mangsa.
“Pasukan penyiasat turut menolak permintaan Manas untuk dibebaskan buat sementara waktu dengan ikat jamin dan polis meminta kelulusan Mahkamah Na Thawi bagi melanjutkan tempoh tahanan suspek.
“Proses soal siasat dilakukan di Balai Polis Hatyai dan polis telah mendapatkan kelulusan daripada tentera untuk tidak membenarkan suspek memakai uniform tentera di dalam sel tahanan,” lapor Bangkok Post.
Pihak berkuasa Thailand me­nye­naraikan 84 suspek kes pemer­dagangan manusia setakat ini, dengan 52 daripadanya telah ditahan dan 32 lagi masih diburu.
Gerakan memburu semua suspek berkenaan dilancarkan ekoran penemuan kubur besar dan kem tahanan mangsa sindiket pemer­dagangan manusia di wilayah Song­­khla yang bersempadan de­ngan Malaysia kira-kira sebulan lalu.