YANGON - MYANMAR . Parti pembangkang Myanmar, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), sekali lagi menggesa kerajaan untuk melonggarkan undang-undang kewarganegaraan.
 
Ia adalah tuntutan kedua parti mengenai isu itu dalam tempoh dua minggu, sekali gus sebagai tekanan kepada pemimpin parti Aung San Suu Kyi untuk tampil bersuara dalam kes Rohingya.
 
Dalam satu kenyataan, parti NLD meminta kerajaan melonggarkan undang-undang kewarganegaraan 1982, bagi membolehkan lebih ramai penduduk mendapatkan  taraf kerakyatan.
 
"Ia perlu diubah supaya lebih mudah untuk memohon kewarganegaraan. Kami mahu syarat permohonan dilonggarkan. Jika mendapat kerakyatan, mereka boleh pergi ke mana sahaja menurut Perlembagaan," menurut jurucakap parti.
 
Dalam perkembangan berasingan, lebih 700 lagi pendatang ditemui dalam keadaan penuh sesak di atas sebuah kapal di Laut Andaman.
 
Jurucakap kerajaan, Ye Htut memaklumkan, kerajaan sedang memeriksa identiti kesemua 727 orang, dan akan menguruskan perjalanan pulang ke Bangladesh mengikut kehendak mereka. - Channel News Asia