Tuesday 2 June 2015

Maritim Malaysia-ACBPS lancar Op RedBack 4


02 Jun 2015 1:26 AM



JOHOR BAHRU 1 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan Op RedBack 4 di perairan Selat Melaka dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran merentasi sempadan bermula hari ini sehingga 4 Jun ini.
Bagi memastikan operasi tersebut berjalan lancar, Maritim Malaysia menjalinkan kerjasama dengan pihak perkhidmatan Kastam dan Kawalan Sempadan Australia (ACBPS) bagi memastikan perairan dan sempadan negara terkawal.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, operasi itu di­tumpukan kepada ‘kawasan panas’ yang dikenal pasti sebagai laluan keluar masuk sindiket haram melalui perkongsian maklumat bersama penguat kuasa dari Australia.
“Selain perkongsian maklumat dan kepakaran, ACBPS turut memberi bantuan dari segi penggunaan aset iaitu kapal KM Satria dan dua bot Penggalang 30 dan Petir 51 sepanjang Ops Redback 4 dijalankan.
“Operasi ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada usaha me­merangi pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran tetapi segala bentuk kegiatan jenayah, antaranya penyeludupan bahan la­rangan seperti dadah, bahan letupan dan penangkapan haram,” katanya di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Penguat Kuasa Kanan ACBPS, Danelle Yannopoulos yang turut melepaskan bot yang menyertai operasi khas kerjasama dalam operasi ber­kenaan.
Ahmad Puzi berkata, sebelum ini, Maritim Malaysia dan ACBPS berganding bahu menjalankan operasi yang sama seperti di Linggi, Melaka; Lumut, Perak; Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan di perairan Selangor.
“Operasi tersebut akan diadakan meliputi kawasan sepanjang 2,500 batu nautika dari kawasan Muar hingga Johor Barat melibatkan penggunaan tujuh buah aset dan sebuah helikopter,” katanya.
Menurut Ahmad Puzi, sejak 2010 hingga 31 Mei lalu, Maritim Malaysia berjaya membanteras 49 kes pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran ke negara ini.
Katanya, Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar turut memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran dalam usaha memerangi jenayah tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/maritim-malaysia-acbps-lancar-op-redback-4-1.98330#sthash.S5zVHo9z.dpuf

No comments:

Post a Comment