Saturday, 13 June 2015

Mangsa pemerdagangan manusia mati akibat kebuluran


12 Jun 2015 5:01 PM
 
KANGAR 12 Jun - Hasil bedah siasat ke atas 106 mayat mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam 'Ops Wawasan Khas' mendapati kebanyakannya menemui ajal dipercayai akibat kebuluran.
Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tanpa ada sebarang unsur jenayah.
Beliau berkata menerusi laporan bedah siasat oleh unit forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah yang diperoleh dua hari lepas juga mendapati ada mayat yang masih baharu dan ada juga yang meninggal dunia awal tahun lepas.
"Namun tempoh sebenar kematian perlu dirujuk semula oleh pihak hospital, forensik juga belum dapat memastikan kewarganegaraan mayat-mayat berkenaan yang ditemui dalam keadaan berkafan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Cawangan Khas (KCK) Kontinjen Polis Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Pada upacara itu, KCK Kontinjen Polis Perlis, Pemangku ACP Idris Mon yang akan bertukar ke IPK Perak menyerahkan tugasnya kepada Supt Ridzuan Abdul Aziz dari IPK Terengganu.
Shafie berkata, walaupun operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam Ops Wawasan Khas itu sudah berakhir, kawasan berkenaan masih lagi dikawal anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengelak kejadian sama berulang.
Beliau berkata, pihak polis akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man bagi mencari kaedah terbaik supaya sempadan Malaysia-Thailand di Perlis tidak dicerobohi mana-mana sindiket pemerdagangan manusia.
Beliau berkata polis akan mengemukakan beberapa kaedah berkesan kepada kerajaan negeri berhubung dengan masalah pembolosan serta keselamatan di kawasan sempadan.
Polis menemukan sebanyak 139 kubur pelbagai saiz dan 28 kem transit pendatang asing dalam operasi di sepanjang 11 kilometer antara Tangga 100, sempadan Malaysia-Thailand sehingga ke Wang Kelian, Padang Besar sejak 25 Mei lalu. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mangsa-pemerdagangan-manusia-mati-akibat-kebuluran-1.102123#sthash.KKuYNfpb.dpuf

No comments:

Post a Comment