ALOR SETAR - Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kehormat Kedah menyerahkan bantuan berjumlah lebih RM7,000 kepada Jabatan Imigresen Kedah untuk diagihkan kepada 1,109 pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di Depoh Belantik, Sik.

Penolong Pesuruhjaya Kanan Rela Bersekutu Kedah, Datuk Ahmad Mansor berkata, bantuan berbentuk pakaian dan lampin pakai buang itu bagi membantu meringankan beban ditanggung mereka.
  
"Banyak yang terpaksa ditempuh mereka semasa cuba masuk ke negara kita. Jadi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan bertanggungjwab kita cuba membantu mengikut kemampuan dengan harapan dapat mengurangkan bebanan dan kesedihan yang mereka alami," katanya kepada pemberita di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
  
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, sumbangan daripada Rela itu akan dibawa ke depoh esok untuk diagihkan kepada 1,109 pelarian Rohingya yang ada di sana.
  
"Saya terharu melihat kemurahan hati rakyat Malaysia yang cukup prihatin dan sudi membantu orang lain yang sedang dalam kesusahan. Kami juga ingin beritahu tahap kesihatan dan keperluan kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan di Depoh Belantik dijaga dengan baik," katanya. - Bernama