Friday 5 June 2015

Polis Jumpa Pati Dalam Hutan Semasa Operasi Jejak Suspek Bersenjata


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 9:55 PM
- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis menemui 27 warga asing termasuk 13 kanak-kanak ketika menjalankan 'Ops Rantau Khas' bagi menjejaki enam penjenayah bersenjata yang melarikan diri ke kawasan hutan simpan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Ketua Polis Daerah Brickfields SAC Muhammad Azlee Abdullah berkata bagaimanapun polis gagal menemui enam penjenayah terbabit dan berkemungkinan mereka telah melarikan diri ke kawasan lain.

Operasi yang bermula 12 tengah hari dan berakhir pukul 7 malam tadi dengan kekuatan anggota lebih 100 orang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am, polis, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kita telah jalankan operasi pembersihan melibatkan kawasan seluas 400 hektar di tiga bahagian iaitu Pusat Rekreasi Bukit Kiara, Puncak Bukit Kiara dan kawasan tanah 60 Sungai Penchala. Kita tidak temui suspek dan percaya mereka telah melarikan diri lebih awal ke kawasan lain memandangkan bahagian hadapan taman rekreasi dan bahagian belakang jaraknya hanya 500 meter.

"Sebaliknya kita temui lima lelaki, 11 wanita dan 13 kanak-kanak berusia tiga bulan hingga 40-an dipercayai warga Indonesia dalam lima buah rumah setinggan yang didirikan sendiri menggunakan kayu di dalam kawasan tanah seluas 60 hektar di Sungai Penchala.

"Dua daripada mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah, seorang merupakan rakyat Malaysia manakala selebihnya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Muhammad Azlee berkata mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Muhammad Azlee berkata polis tetap akan meneruskan operasi menjejaki suspek.

"Kita juga akan jalankan siasatan lanjut untuk melihat sama ada kumpulan penjenayah itu mempunyai kaitan dengan warga asing yang ditahan ini," katanya.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi semalam, keenam-enam suspek dipercayai bersenjatakan parang yang sedang berjalan telah melarikan diri ke kawasan hutan simpan TTDI ketika ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya kesemua suspek dipercayai kumpulan pecah rumah yang melakukan jenayah itu menggunakan parang pada awal pagi.

No comments:

Post a Comment