Friday 5 June 2015

Operasi Gali Kubur Fasa Kedua Mangsa Pemerdagangan Manusia Bermula


Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2015 12:00 AM
Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Operasi menggali 91 kubur fasa kedua mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Lubuk Sireh, Perlis bermula pada Khamis melibatkan 180 petugas forensik dan keselamatan dan dijangka selesai sebelum Rabu depan.

Lapan kenderaan membawa pasukan forensik dan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasuki kawasan tersebut bagi operasi itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Kelab Kebajikan dan Sukan PDRM (KKS PDRM) 2015 di sini.

Di Kangar, Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata antara yang terlibat dalam operasi itu ialah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), forensik dan pasukan siasatan.

Beliau berkata mereka bergerak ke kawasan tumpuan dengan memasuki dua pintu masuk iaitu di Wang Kelian dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ), Padang Besar.

Mengenai laluan yang akan digunakan bagi menurunkan mayat yang ditemui, Shafie berkata soal menggunakan laluan darat atau helikopter belum diputuskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata jenazah etnik Rohingya mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang telah dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Pokok Sena.

Pejabat Mufti bersama Majlis Agama Islam Kedah akan menguruskan kesemua jenazah itu mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan memandangkan ada daripadanya dalam keadaan tidak sempurna, katanya kepada pemberita di Jerlun.

Mukhriz berkata beliau difahamkan 35 jenazah yang telah dibedah siasat berada di hospital itu.

Jenazah tersebut merupakan sebahagian rangka manusia yang telah dikeluarkan sejak polis mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem transit yang diwujudkan sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Perlis-Thailand.

No comments:

Post a Comment