Tuesday 2 June 2015

727 masih ditahan di laut

Yangon: Lebih 700 pendatang yang ditemui bersesak-sesak dalam sebuah bot di Laut Andaman masih ditahan di pesisir pantai Myanmar oleh tentera laut negara itu, lebih tiga hari selepas kapal yang asalnya digunakan nelayan itu ditahan.
Jurucakap kerajaan Ye Htut berkata: “Kerajaan masih memeriksa identiti mereka, memastikan apa mereka mahu lakukan dan ke mana hala tuju mereka.
“Selalunya mereka mahu pulang ke Bangladesh dan kami akan membuat persediaan sewajarnya untuk membantu mereka.”
Dia bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut mengenai lokasi bot berkenaan.
Pegawai Myanmar juga enggan mendedahkan identiti 727 migran atau destinasi mereka yang ditemui hanyut awal Jumaat lalu.
Pada awalnya kerajaan mendakwa migran itu ‘Benggali’ - gelaran digunakan untuk merujuk kepada warga Bangladesh dan etnik Rohingya.
Pihak berkuasa kemudian berkata kebanyakan di daklam bot itu warga Bangladesh.
Myanmar dikecam hebat kerana layanannya terhadap Rohingya apabila lebih 100,000 etnik itu melarikan diri daripada penindasan dan kemiskinan di Rakhine sejak 2012. Negara itu bagaimanapun menafi mendiskriminasi mereka.
Wartawan asing juga ditahan dan dihantar pulang ke darat selepas cuba menghampiri bot berkenaan, kelmarin.
Malah, pegawai tentera laut, dengan mengacu senjata pada wartawan berkeanaan, mengarahkan mereka memadam gambar dan rakaman bot itu.
Seorang pegawai yang enggan dinamakan memberitahu Reuters kelmarin, ada antara migran di atas bot itu bercakap Rakhine - bahasa tempatan yang tidak digunakan di Bangladesh.
Kerajaan Myanmar mendakwa etnik Rohingya sebenarnya pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh dan menafikan ia bertanggungjawab bagi krisis yang menyaksikan lebih 4,000 pelarian mendarat di pantai Malaysia dan Indonesia atau terdampar di laut sejak beberapa minggu lalu.
Penyeludup meninggalkan mereka di laut selepas pihak berkuasa Thai melancarkan gerakan besar-besaran terhadap pemerdagangan manusia, awal Mei lalu.
Pihak berkuasa Myanmar bulan lalu mendakwa satu lagi bot migran ditemui di laut, dipenuhi lebih 200 orang kebanyakannya warga Bangladesh.
Bagaimanapun, siasatan Reuters mendapati lebih 150 etnik Rohingya di dalam bot itu dibawa keluar secara senyap oleh penyeludup sebelum pihak berkuasa menunda bot itu ke darat. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 9:36 AM


AKTOR Amerika Syarikat Matt Dillon bergambar bersama kanak-kanak Rohingya di Rakhine, barat Myanmar ketika melawat kem pelarian yang menempatkan etnik itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55107#sthash.DqtW0LpL.dpuf

No comments:

Post a Comment