ISLAMABAD - PAKISTAN. Militan Taliban di Pakistan menggesa penduduk Islam di Myanmar untuk bangkit dan melawan kerajaan yang menindas mereka.

Gesaan itu dibuat kumpulan Jamaat-ul-Ahrar yang merupakan anggota kepada rangkaian pengganas Taliban, Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), semalam.

Jurucakapnya, Ehsanullah Ehsan berkata, pihaknya berkongsi kesedihan dengan penindasan terhadap etnik minoriti Rohingya dan bersedia memberi latihan kepada mereka bagi menentang kekejaman Yangon.

"Saya menggesa kepada pemuda Islam Myanmar. Angkat senjata dan berjihadlah di jalan ALLAH.

"Kami akan sediakan pusat latihan, sumber, tentera dan sebagainya untuk memberi keselesaan kepada anda," katanya dalam mesej audio yang dihantar kepada media.

Pihak berkuasa Mynmar enggan mengiktiraf kira-kira 1.3 juta Rohingya sebagai warganegaranya dan mengenakan pelbagai larangan termasuk pergerakan dan tiada akses kepada pekerjaan.

Negeri miskin Rakhine menjadi sarang ketegangan antara majoriti penganut Buddha dan Rohingya selepas rusuhan maut tercetus pada 2012. - AFP