ETNIK minoriti di Myanmar ini telah mula meninggalkan negara tersebut sejak beberapa dekad lalu. Penduduk Rohingya mendakwa mereka adalah keturunan pedagang dari Arab, namun kerajaan Myanmar enggan mengiktiraf kumpulan etnik tersebut dan menganggap mereka sebagai pendatang Benggali.

Menurut Pertubuhan Rohingya di Britain (Brouk), kerajaan Myanmar telah memperkenalkan dasar yang menindas etnik Rohingya sejak 1970-an.

Mereka dikenakan pelbagai sekatan termasuk tidak diberikan perkhidmatan asas. Penindasan ke atas penduduk Rohingya semakin meningkat sejak Presiden Thein Sein memperkenalkan proses pembaharuan pada 2011. Pada Jun dan Oktober 2012, serangan besar-besaran telah dilancarkan ke atas etnik Rohingya susulan insiden rogol dan bunuh seorang wanita Buddha yang didakwa kononnya dilakukan penduduk minoriti terbabit.

Pada Mac lalu, kerajaan Myanmar turut membatalkan sijil pendaftaran sementara dikeluarkan ke atas ratusan ribu penduduk Rohingya yang melarang mereka mengundi pada masa hadapan.

Sejak tiga tahun lalu, lebih 120,000 pelarian Rohingya telah melarikan diri. Menurut laporan UNHCR, 25,000 pelarian telah meninggalkan Myanmar dan Bangladesh pada suku pertama tahun ini, meningkat kira-kira dua kali ganda berbanding tahun lalu. Antara 40-60 peratus dipercayai berasal dari Rakhine.
 
Mengapa mereka terkandas di laut?

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) memaklumkan kira-kira 8,000 pelarian dari Bangladesh dan Myanmar dipercayai masih terkandas di laut.

Baru-baru ini, kerajaan Thailand telah menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang beroperasi di sebuah kem pelarian di selatan Thailand. Susulan daripada itu, kumpulan penyeludup tersebut didakwa bertindak kejam meninggalkan mereka termasuk kanak-kanak hanyut di tengah laut.


Siapakah etnik Rohingya?:
 
- Etnik minoriti Islam yang tinggal di Myanmar.
 
- Dipercayai berasal daripada keturunan pedagang Arab yang telah menetap di negara tersebut sejak lebih 1,000 tahun lalu.
 
- Mereka juga menetap di Bangladesh, Arab Saudi dan Pakistan.
 
- Di Myanmar, mereka dijadikan buruh paksa, tidak mempunyai hak ke atas tanah dan dikenakan sekatan yang ketat.
 
Di Bangladesh, mereka hidup serba daif, tanpa dokumen sah atau prospek pekerjaan.