Mangsa, Firus Ahmad, 26, diperlakukan sedemikian oleh rakan se­negaranya dalam satu pergaduhan semasa mereka dipercayai mabuk kira-kira pukul 6 pagi.
Sebelum kejadian, mangsa dipercayai berkumpul bersama enam rakannya di kantin tapak projek itu sambil minum minuman keras pada pukul 11 malam sebelum berlaku pertengkaran namun disuraikan oleh pengawal keselamatan di kawasan tersebut.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintenden Shahurinain Jais berkata, kumpulan terbabit beredar sejurus selepas itu namun dua lelaki dilihat kembali ke rumah kongsi tersebut pada pukul 6 pagi.
“Pengawal keselamatan itu ternampak dua lelaki memasuki kawasan tersebut namun tidak sedar apa yang berlaku sehinggalah dimaklumkan ada seorang lelaki Myanmar dibunuh di hadapan rumah kongsi terbabit.
“Dia kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada kerani tapak pembinaan yang kemudiannya membuat laporan polis pada pukul 8 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Shahurinain, mangsa yang sudah berkahwin dan memiliki dua anak baru empat bulan ma­suk ke Malaysia dan bekerja sebagai tukang kayu di tapak projek itu.
Jelasnya, identiti mangsa disahkan oleh saudaranya yang menetap di Alma kerana tiada sebarang pengenalan diri ditemukan pada mangsa.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
“Polis juga memohon mana-mana pihak yang memiliki maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan,” ujarnya.