Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang enggan mendedahkan jumlah ketua sindiket yang telah diserahkan itu berkata, selepas soal siasat dilakukan, suspek terlibat akan didakwa di mahkamah.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada Thailand yang memberi bantuan kepada Malaysia untuk memasuki kawasan mereka bagi mencari pihak yang terlibat sebagai ‘kingpin’ atau ketua sindiket pemerdagangan manusia.
“Pada waktu ini kita sedang mengumpul semua maklumat, malah Yassin yang disebutkan sebagai ‘kingpin’ utama telah dikenal pasti dan dipercayai telah me­larikan diri ke Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Pe­rancis ke Malaysia, Cristophe Penot di pejabatnya di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan yang dibuat oleh media mengenai kem mangsa pemerdagangan manusia terbesar yang ditemukan di Hutan Simpan Mata Aye, Padang Besar, Perlis kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand semalam.
Pada 26 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pembongkaran lokasi pemerdagangan manusia di Wang Kelian yang terletak di sempadan Perlis dan Thailand.
Pemeriksaan pihak berkuasa menemukan sebanyak 139 buah kubur dipercayai milik pendatang asing.
Rentetan daripada penemuan tersebut, pihak berkuasa mengesan sindiket utama jenayah itu yang dikenali sebagai Yassin dan dipercayai berbangsa Rohingya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi menjejak dalang terbabit dan membawa pulang Yassin untuk didakwa mengikut undang-undang negara ini.
Katanya, kerajaan juga akan menyambung bacaan kali kedua Akta Pemerdagangan Manusia dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penjenayah terbabit.