Saturday 6 June 2015

14 lagi mayat mangsa pemerdagangan manusia dikeluarkan hari ini

JUMAAT, 5 JUN 2015 @ 11:35 PM

PENGAMAL media diarahkan tidak mendekati kawasan batu sempadan berdekatan dengan kem tahanan Lubuk Sireh, Perlis yang dikawal oleh anggota PGA bagi membolehkan kerja-kerja fasa kedua menggali kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia dijalankan di Ban Talok, Padang Besar Thailand. - Foto BERNAMA

PADANG BESAR: Sebanyak 14 lagi mayat berkafan dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui dalam 12 kubur yang digali di hutan simpan Mata Air di sini, hari ini. Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail, berkata tapak yang digali itu dikenali sebagai Kubur 24 dalam kawasan Malaysia, terletak kira-kira 100 meter dengan garisan sempadan Malaysia/Thailand. "Dua dari 12 kubur itu mengandungi dua mayat. Semua mayat ditemui dalam keadaan dikafan dengan sempurna," katanya semasa dihubungi dan menambah Kubur 24 mempunyai 91 kubur. Sebelum itu sebanyak 35 mayat telah dikeluarkan dari Bukit Wang Burma di Wang Kelian setelah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem di percayai menjadi kem transit sindiket pemerdagangan manusia pada 25 Mei lalu. Shafie berkata pasukan forensik dan Pasukan Gerak Am (PGA) mengambil masa lebih sejam untuk membawa turun mayat berkenaan secara mengusung dan tiba di ladang Felcra, Lubuk Sireh di sini pukul 6.30 petang ini. Semua mayat berkenaan terus dibawa dengan kenderaan polis ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk ujian patologi, tambahnya. Mengikut Shafie, sekiranya cuaca baik penggalian baki 79 kubur di Kubur 24 dijangka selesaikan Selasa ini. Katanya, halangan utama untuk membawa turun mayat adalah bentuk muka bumi kawasan terbabit yang berbatu dan curam manakala helikopter tidak dapat digunakan untuk tujuan itu. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59446

No comments:

Post a Comment