Monday 22 June 2015

300 budak Rohingya tiada ibu bapa



AFP - SEKUMPULAN pelarian Rohingya termasuk kanak-kanak dirakam pada 14 Jun lalu beratur ketika mengambil makanan di Kuala Cangkoi, Aceh, Indonesia.


JAKARTA – Kira-kira 300 kanak-kanak dan remaja pelarian Rohingya di Aceh dilaporkan tidak mempunyai ibu bapa, menurut wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) ke Indonesia, Thomas Vargas.
“Kebanyakan kanak-kanak itu tidak disertai oleh ibu bapa mereka. Disebabkan itu, salah satu misi kami ialah menemukan semula dengan keluarga mereka,” ujarnya memetik agensi berita Antara ketika menghadiri acara tandatangan perjanjian bersama Palang Merah Indonesia (PMI) pada Jumaat lepas.
Beliau memberitahu, pelarian Rohingya di Aceh mempunyai latar belakang dan kisah kehidupan yang berbeza.
“Sebilangan besar pelari­an merupakan pencari suaka dari kumpulan etnik Rohingya dan kebanyakan mereka masih mencari keluarga terdekat,” tambah Vargas.
Berdasarkan data, kebanyakan pelarian merancang ke Malaysia untuk mencari keluarga terdekat tetapi dikumpulkan bersama pendatang asing yang menuju ke Aceh.
Vargas berkata, sebelum mereka disatukan bersama keluarga masing-masing, segala maklumat pengenalan diri akan direkodkan terlebih dahulu.
Pada masa kini UNHCR dan PMI akan membuat inventori pelarian tersebut dan berusaha membantu menemukan semula dengan keluarga terdekat atau keluarga kandung mereka.
UNHCR Indonesia juga akan menyediakan latihan kemahiran vokasional kepada pelarian yang merancang untuk tinggal dalam jangka panjang di negara itu.
“Ia akan memberikan mereka harapan baharu dan tidak menjadi beban di negara sendiri,” kata Vargas. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0622&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3djz9efsZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment