Wednesday 3 June 2015

Obama gesa Myanmar henti tindas Rohingya

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mendesak Myanmar menamatkan diskriminasi terhadap etnik Rohingya sekiranya negara itu mahu berjaya dalam peralihan ke arah negara demokrasi.
“Etnik Rohingya menjadi mangsa diskriminasi sejak puluhan tahun dan itu antara punca mereka melarikan diri,” kata Obama di sini kelmarin.
Obama berkata, untuk berjaya menjadi negara demokrasi, perkara paling penting yang perlu dilakukan Myanmar adalah menamatkan diskriminasi terhadap rakyatnya tanpa mengira rupa atau agama mereka.
“Sekiranya saya menjadi etnik Rohingya, pasti saya mahu tinggal di tempat saya dilahirkan.
“Bagaimanapun, saya perlu memastikan kerajaan melindungi saya dan melayan kaum saya dengan adil,” katanya.
Nasib 1.3 juta etnik Rohingya yang beragama Islam dan dinafikan hak kerakyatan mula mendapat perhatian dunia selepas tercetusnya krisis pelarian di Asia Tenggara baru-baru ini.
Seramai 3,500 pendatang Rohingya dan Bangladesh yang menaiki bot diselamatkan di perairan Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Beribu-ribu lagi dipercayai masih terkandas dan hanyut di dalam bot mereka di lautan.
Myanmar memulakan peralihan ke arah pemerintahan demokrasi pada 2011 selepas sekian lama berada di bawah pemerintahan tentera.
Puluhan ribu penduduk Rohingya hilang tempat tinggal dan terpaksa berlindung di kem penempatan sementara apabila tercetus keganasan etnik di negeri Rakhine pada 2012. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 11:11 AM

SEORANG pelarian Rohingya membawa makanan di kem penempatan di Kuala Cangkoi di Aceh, Indonesia kelmarin.

No comments:

Post a Comment