Htin Kyaw (kiri) dan Aung San Suu Kyi tiba di Parlimen untuk upacara
Aung San Suu Kyi
Ia merupakan pertembungan pertama antara kerajaan baharu awam dengan pihak tentera selepas beberapa hari mengambil alih teraju pemerintahan Myanmar.
Myanmar diperintah tentera le­bih setengah abad sehinggalah parti pimpinan Suu Kyi, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) mengambil alih kuasa pada Rabu lalu, selepas parti itu mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum negara itu pada November lalu.
Namun, penerima Hadiah Nobel Keamanan itu tidak dibenarkan menjadi Presiden mengikut peruntukan Perlembagaan negara ini.
Dalam tindakan yang mengejutkan itu di Parlimen, kerajaan baharu membentangkan rang undang-­undang untuk mewujudkan jawatan khas untuk Suu Kyi sebagai Penasihat Negara.
Jika rang undang-undang itu diluluskan ia akan memberi pemimpin berusia 70 tahun itu peranan penting ke atas Parlimen, selain menerajui empat kementerian dalam Kabinet.
Dalam pertembungan awal antara parti pimpinannya dan pihak tentera yang masih mempunyai pe­ngaruh besar dalam politik Myanmar, anggota-anggota Parlimen daripada tentera menyifatkan tindakan kerajaan baharu itu sebagai tidak mengikut Perlembagaan.
Kolonel Myint Swe ketika perbahasan membangkitkan kebim­bangan bahawa rancangan itu akan meletakkan kedudukan Presiden dan penasihat sama taraf.
“Ini bertentangan dengan Perlembagaan. Maka, saya ingin mencadangkan supaya rang undang-undang itu dipinda agar tidak bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.
Seorang lagi anggota Parlimen mewakili tentera, Kolonel Hla Win Aung mempersoalkan na­ma Suu Kyi disebut di dalam rang undang-undang berkenaan dan memberi amaran tindakan itu boleh mero­sakkan piagam mengenai kesimbangan kuasa antara pihak legislatif, eksekutif dan perundangan.
Pihak tentera mempunyai kuota sebanyak satu perempat daripada jumlah kerusi di Parlimen seperti ditetapkan Perlembagaan Myanmar.
NLD yang memenangi majoriti kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, membolehkan rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Tertinggi, tetapi masih memerlukan kelulusan di Dewan Rendah dan gabungan Parlimen.
Suu Kyi dihalang menjadi Pre­siden di bawah Perlembgaan Myanmar kerana kedua-dua anak lelakinya dan suaminya adalah warganegara Britain.
Beliau melantik rakan karibnya Htin Kyaw, sebagai Presiden baharu Myanmar yang mengangkat sum­pah jawatan pada Rabu lalu.­
Pemerhati melahirkan kebimbangan tentang kemampuan kerajaan baharu untuk menghadapi cabaran-cabaran bagi membangunkan Myanmar selepas melalui pemerintahan kuku besi selama le­bih lima dekad di bawah junta.
Suu Kyi sendiri dilihat akan menggalas beban yang besar me­nerajui pentadbiran, selain menge­tuai empat kementerian penting iaitu Kementerian Luar, Pendidikan, Tenaga dan Menteri di pejabat Presiden.– AFP