Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Myanmar (UNOCHA), Pierre Peron berkata, bot itu membawa 60 orang penumpang dari sebuah kem pelarian Sin Tet Maw di Paukaw ke sebuah pasar di Sittwe.
Ujarnya, jumlah mangsa yang terkorban dijangka meningkat ekoran ramai lagi yang dilaporkan hilang.
“Bot berkenaan mendapat kebenaran untuk perjalanan ke pasar berkenaan untuk membolehkan mangsa membeli keperluan masing-masing,” katanya.
Seorang saksi yang juga aktivis Rohingya, Kyaw Hla Aung menyalahkan peraturan ketat kerajaan Myanmar sehingga memaksa mangsa menggunakan laluan laut.
Jelas beliau, insiden itu berlaku kerana pengangkutan yang tidak selamat berikutan undang-undang yang tidak membenarkan mereka menggunakan laluan darat ke Sittwe untuk membeli ubat dan barangan keperluan lain.
“Kesemua 22 orang yang terkorban di Sittwe merupakan etnik Rohingya,” katanya.
Rakhine yang terletak di barat Myanmar menempatkan kem-kem pelarian etnik Rohingya yang hidup ditindas selepas keganasan kaum dan agama tercetus di wilayah itu pada 2012.
Peraturan kewarganegaraan yang dikuatkuasakan menyebabkan etnik Rohingya ‘tidak mempunyai negara’, oleh yang demikian pergerakan dan kemudahan perubatan kepada etnk Rohingya disekat oleh pemerintah Myanmar. – AFP