Saturday, 9 April 2016

Suu Kyi kotakan janji bebas tahanan politik




AFP - SEORANG aktivis pelajar berjalan keluar dari Penjara Pusat Tharraqwaddy, bandar Tharraqwady semalam.


THARRAWADDY – Ramai keluarga berhimpun di beberapa buah penjara di Myanmar semalam selepas pihak berkuasa membayangkan berpuluh-puluh pelajar akan dibebaskan selepas Aung San Suu Kyi bersetuju memberikan pengampunan beramai-ramai kepada tahanan politik di negara itu.
Selaras dengan janjinya sejak mengambil alih pentadbiran negara daripada junta tentera minggu lalu, Suu Kyi menyatakan kelmarin bahawa pembebasan aktivis akan menjadi keutamaannya.
Lebih 100 tahanan politik dan pelajar masih dipenjara di Myanmar walaupun junta tentera beransur-ansur melepaskan kuasa selepas memerintah lebih lima dekad.
Pada pagi semalam, ramai keluarga berkumpul di beberapa penjara di bandar terbesar Myanmar, Yangon dan tengah Tharraqwaddy di mana sebilangan pelajar telah ditahan lebih setahun kerana menunjuk perasaan berhubung isu pendidikan sebelum mereka ditangkap pada Mac 2015.
Sambil membawa jambangan bunga, anggota keluarga pelajar-pelajar itu menyambut mereka yang tiba dengan menaiki sebuah lori polis berhampiran sebuah mahkamah. Beberapa pegawai berkata, kumpulan pelajar itu akan dibebaskan.
“Saya sudah mengarahkan kakitangan saya supaya membebaskan pelajar-pelajar ini sebaik sahaja pihak pendakwa raya menggugurkan kes mereka.
“Kakitangan kami lebih gembira sekiranya semua pelajar ini dibebaskan,” kata Hakim Daerah Tharrawady, Kyaw Swar Nyein.
Menurutnya, seramai 37 aktivis pelajar ditahan berhubung pelbagai kesalahan termasuk berhimpun secara haram dan merusuh, sementara 45 lagi telah diikat jamin tetapi berdepan tuduhan serupa.
Suu Kyi sendiri menghabiskan masa kira-kira 15 tahun berada dalam tahanan rumah, sementara lebih 100 wakil rakyatnya daripada Parti Liga Kebangsaan Demokrasi pernah ditahan di beberapa buah penjara di negara itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz45KTGSxaG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment