Kubur yang terletak di daerah Sadao, wilayah Songkhla itu dijumpai di sebuah kem lama yang sering digunakan dalam proses pemindahan manusia dari Thailand ke Malaysia.
“Terdapat 32 buah kubur, de­ngan empat daripadanya telah digali dan mayat terbabit sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat. Semua mayat sudah reput.

“Kami turut menemui seorang warga Bangladesh di kawasan ber­kenaan dan dia kini sedang me­nerima rawatan di hospital berhampiran Padang Besar,” kata anggota penyelamat, Sathit Thamsuwan.
Pihak hospital melaporkan, warga Bangladesh berkenaan kini berada dalam keadaan stabil.
Penemuan itu turut disahkan oleh pegawai kerajaan di Sadao yang enggan mendedahkan namanya.
“Terdapat lebih daripada 20 buah kubur ditemui. Tentera dan polis sempadan sudah mengepung kawasan berkenaan bagi memboleh­kan kita membawa pegawai forensik,” ujar pegawai ber­kenaan.
Berpuluh-puluh ribu pendatang terutamanya penduduk Islam Rohingya dan Bangladesh menggunakan jalan laut untuk ke selatan negara ini, bagi membolehkan mereka ke Malaysia serta negara-negara berdekatan. – AFP