BANGKOK - THAILAND . Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha berkata pihaknya hanya akan menyentuh soal bantuan kemanusiaan apabila  bermesyuarat mengenai Rohingya pada 29 Mei ini.
 
Beliau berkata Thailand yang mahu mengelak konflik tidak akan menyentuh politik dalaman negara lain yang boleh membawa kekeliruan.
 
Beliau optimis penyelesaian awal boleh dicapai pada mesyuarat khas itu yang Thailand menjadi tuan rumah yang bakal disertai 15 negara termasuk beberapa pertubuhan antarabangsa berkaitan.
 
Penyelesaiannya tidak boleh mendatangkan konflik antara negara di rantau ini, katanya.
 
Mengenai kehadiran Myanmar, Prayuth berkata beliau dimaklumkan oleh menteri luar Thailand bahawa semua pihak menerima undangan untuk menghadiri mesyuarat.
 
Malaysia yang turut menerima tempias kehadiran warga Rohingya dan Bangladesh akan turut menghadiri mesyuarat.
 
Malaysia dan Thailand sebelum ke mesyuarat itu dijadual turut mengadakan perbincangan di Putrajaya pada Rabu ini. - Bernama