Monday 25 May 2015

Majoriti pendatang bukan Rohingya


KANAK-KANAK Bangladesh dirakam sedang menikmati hidangan yang disediakan oleh sukarelawan Indonesia di pusat perlindungan sementara di Bayeun, wilayah Aceh kelmarin. - AFP


SYDNEY – Indonesia mendakwa bahawa kebanyakan pendatang asing yang tersadai di perairan Asia Tenggara merupakan buruh haram dari Bangladesh, bukannya pelarian Rohingya Islam, kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop dalam satu kenyataan kelmarin.
Bercakap kepada akhbar The Weekend Australian, Bishop berkata, kerajaan Indonesia ada memaklumkan kepadanya bahawa hanya sekitar 30 hingga 40 peratus daripada ribuan yang tersadai di laut terdiri daripada etnik Rohingya.
“Mereka (Indonesia) percaya terdapat 7,000 orang tersadai di laut dan menganggarkan 30 hingga 40 peratus adalah Rohingya. Selebihnya ialah warga Bangladesh dan mereka bukannya pemohon suaka politik tetapi buruh haram.
“Mereka dijanjikan pekerjaan di Malaysia. Kelompok itu turut memberitahu, kebanyakan Rohingya telah berhijrah di Bangladesh dan bercampur bersama warga tempatan yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan,” kata Bishop.
Lebih 3,500 pendatang asing berenang ke pesisir pantai atau diselamatkan di luar pantai Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh sejak kerajaan Thailand mengambil tindakan tegas menyekat kemasukan mereka awal bulan ini.
Bishop menambah, Ketua Pengarah Hal Ehwal Multilateral Indonesia, Hasan Kleib memaklumkan kepadanya, satu kapal pendatang asing itu mengandungi seramai 400 hingga 600 warga Bangladesh.
Myanmar kini berdepan tekanan antarabangsa dalam usaha membendung perpindahan dari pesisir pantainya dan gesaan penghantaran bantuan kemanusiaan mereka yang masih terperangkap di laut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3b6IUNlGp 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment