Saturday 16 May 2015

Selamatkan rakyat Rohingya dan Bangladesh - Puteri UMNO


Selamatkan rakyat Rohingya dan Bangladesh - Puteri UMNO
PUTERI UMNO: Selamatkan rakyat Rohingya dan pelarian Bangladesh - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mahu kerajaan memainkan peranan utama dalam usaha menyelamatkan rakyat Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh yang terkandas di tengah lautan selepas ditinggalkan sindiket penyeludupan manusia.

Ia merupakan isyarat kepada satu usaha penyatuan negara-negara ASEAN sekali gus menjadi tanggungjawab negara sebagai Pengerusi ASEAN untuk melihat misi itu mencapai kejayaannya.

Berikut adalah kenyataan penuh Mas Ermieyati

Pergerakan Puteri UMNO mahu kerajaan memainkan peranan utama dalam usaha menyelamatkan lebih 8,000 rakyat Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh yang dipercayai terkandas di tengah lautan selepas ditinggalkan sindiket penyeludupan manusia.

Sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, kejadian yang berlaku menjadi signal utama untuk semua negara berkenaan segera duduk di meja rundingan dan membuat tindakan pantas dalam mencari penyelesaian isu berkenaan.

Mangsa yang merupakan pelarian harus dibela sekali gus satu usul yang meminta Myanmar menghentikan sikap perbezaan darjat kepada semua rakyat Rohingya yang terlibat di dalam situasi yang selama ini masih tergantung penyelesaiannya dicapai.

Kerajaan juga harus segera berbincang dan berikrar bersama negara-negara ASEAN agar krisis kemanusiaan yang melibatkan lebih satu juta rakyat Rohingya ini dihentikan segera.

ASEAN diminta menjadikan isu ini sebagai krisis kemanusiaan yang perlu diselesaikan semua negara terlibat dengan keputusan yang menang-menang.

Pergerakan Puteri UMNO mahu kerajaan membuktikan sikap kepimpinan dalam ASEAN dan segera memikirkan jalan terbaik untuk melihat krisis ini mencari noktahnya daripada menjadi barah yang tidak boleh diubati lagi.

Bagaimanapun kerajaan tidak pernah mengetepikan isu pelarian Rohingya yang masuk di negara ini. Ini dapat dilihat dengan komitmen kerajaan yang membelanjakan hampir RM50 seorang setiap hari kepada lebih 150,000 pelarian Rohingya yang berdaftar.

Daripada keseluhan jumlah itu, 40 peratus daripadanya merupakan kanak-kanak dan golongan wanita yang memerlukan perhatian.

Situasi ini sekali gus membuktikan kerajaan tidak memandang enteng isu ini namun ia akan lebih bermakna seandainya mendapat kerjasama serupa daripada negara ASEAN yang lain.

Puteri UMNO juga menyifatkan pembangkang tidak ada isu berbangkit untuk menuding jari kepada kerajaan kerana selama ini nasib pelarian itu terbela di negara ini. Bagaimanapun Puteri UMNO melihat isu ini harus diberi lebih perhatian dan dibincangkan dengan lebih terperinci pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Ia dibuktikan dengan penglibatan kerajaan selama ini dalam menyelesaikan isu berkenaan pelarian Rohingya dengan pelbagai aktiviti dan perjumpaan dengan organisasi masyarakat awam untuk mendapatkan pandangan dalam isu berkaitan ASEAN.

BACA:"Di mana nilai kemanusiaan kita?"

BACA:ASEAN perlu bantu rakyat Rohingya - Naib Ketua Pemuda UMNO

BACA:"Fahamilah, kami sesungguhnya ingin pulang" - Pelarian Rohingya

Di samping itu kerajaan juga sentiasa membuka peluang kepada semua ahli keluarga ASEAN untuk berinteraksi dengan ketua-ketua negara semasa Sidang kemuncak ASEAN ke-26 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 27 April lepas.

Satu persefahaman antara negara anggota ASEAN perlu dicari dan apa juga tindakan selepas ini perlu meletakkan keutamaan kepada sikap kasih sayang sesama manusia.

Kejayaan kepimpinan kerajaan sebagai salah sebuah negara yang dihormati di mata dunia akan lebih menyerlah jika berada di barisan hadapan dan membuktikan setiap tindakan dalam memastikan isu ini diselesaikan segera.

FOTO:Pelarian Rohingya di perairan Thailand

FOTO:Memperingati insiden pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya

Tindakan menghalau mungkin bukan penyelesaian namun perjanjian bersama negara-negara yang terlibat dapat menyelamatkan ribuan nyawa selain memastikan hak asasi manusia untuk meneruskan kehidupan terjamin.

Keengganan negara-negara seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia sendiri dalam penerimaan pelarian Rohingya mungkin menjatuhkan imej negara di mata dunia. Jika ia diteruskan pasti tidak ada jalan penyelesaian akan dicapai dan situasi akan tergantung selain lebih ramai pelarian akan tersiksa.

Oleh itu Puteri UMNO berpendapat, sudah pasti kerajaan tidak mahu melihat kelewatan menyelesaikan isu ini sebagai satu isu yang menjatuhkan kredibiliti negara di mata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kelak.

Bertindak segera dengan cara yang paling berkesan dan tidak mencalarkan imej negara di mata negara ASEAN.

Ibarat pepatah 'Silap cakap kena radak, hilang jiwa percuma saja' - Semua negara perlu berhati-hati dalam menangani suatu masalah agar tidak menemui kesulitan.

Jika betul caranya, isu ini tentu dapat diselesaikan dengan penuh diplomatik dalam semangat keluarga erat ASEAN.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Datuk Mas Ermieyati Samsudin adalah Ketua Pergerakan Puteri UMNO
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI

Untuk perkembangan terkini di jari anda, muat turun aplikasi Astro Awani diApp StoreatauGoogle Playstore.

No comments:

Post a Comment