Saturday 23 May 2015

Pendatang Bangladesh mengaku imigran Rohingya


GAMBAR fail bertarikh 21 Mei 2015 ini menunjukkan sekumpulan etnik Rohingya Islam dibawa menaiki sebuah trak selepas diselamatkan nelayan di Aceh, Indonesia.


YANGON – Tentera laut Myanmar menemui dua buah bot dengan sebuah daripadanya membawa lebih 200 warga Bangladesh, manakala bot kedua didapati kosong, kata pihak berkuasa negara berkenaan semalam.
“Kedua-dua bot itu datang dari Ranong di selatan Thailand,” kata pemerintah negeri Rakhine dalam satu kenyataan akhbar.
Pada asalnya, sindiket penyeludupan manusia merancang mengisi dua bot tersebut dengan 300 pendatang untuk dibawa ke Thailand, tambah kenyataan berkenaan.
Jurucakap pemerintah Myanmar, Ye Htut berkata, semua imigran itu berasal dari bandar Cox’s Bazar, Chittagong dan utara Dhaka di Bangladesh.
Terdahulu, ketua angkatan tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing menyatakan bahawa sebahagian imigran yang mendarat di Malaysia dan Indonesia pada bulan ini berpura-pura mengaku diri mereka etnik Islam Rohingya untuk mendapatkan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Komen jeneral kanan itu mencetuskan kebimbangan selepas Amerika Syarikat menegaskan pada minggu ini bahawa Myanmar perlu menangani punca kebanjiran etnik Rohingya termasuk diskriminasi dan keganasan terhadap mereka.
Sebahagian besar daripada 1.1 juta etnik Rohingya tiada kerakyatan dan hidup dalam keadaan ditekan di negeri Rakhine, barat Myanmar. Hampir 140,000 etnik berkenaan menjadi pelarian dalam keganasan yang tercetus dengan penduduk beragama Buddha pada 2012. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0523&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3auZRqhBi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment