Tuesday 19 May 2015

Rohingya: Myanmar Mungkin Tak Hadir Sidang Asean


Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 11:15 AM

YANGON: Myanmar tidak akan menghadiri sidang kemuncak Asean di Thailand jika jemputan tersebut membangkitkan isu pelarian Rohingya demikian dimaklumkan Pejabat Presiden Thein Sein.
Pendirian itu seiring ketegasan Myanmar yang tidak mahu dipersalahkan berkaitan krisis pelarian yang semakin meruncing.
Isu kebanjiran pelarian Rohingya yang lari dari Myanmar juga menimbulkan keraguan sama ada negara berkenaan akan menghadiri mesyuarat serantau yang diadakan di Bangkok, hujung bulan ini.
“Bukan mengabaikan masalah ini, tetapi pemimpin kami masih mempertimbangkan sama ada untuk menghadiri mesyuarat itu berdasarkan topik yang akan dibincangkan.
"Apa pun, kami enggan bertanggungjawab dan menolak sama sekali dakwaan bahawa kami punca kepada masalah ini," kata Pengarah Pejabat Presiden, Mejar Zaw Htay.
Sepanjang minggu lalu, ribuan pelarian etnik Rohingya melarikan diri menggunakan bot dan tiba di perairan Thailand, Malaysia dan Indonesia dalam keadaan lapar dan tidak bermaya.
Umat Islam Rohingya meninggalkan Myanmar kerana melarikan diri dari penganiayaan berterusan di negara tersebut.
Thailand dijadualkan akan mengadakan mesyuarat serantau pada 29 Mei ini dengan pegawai-pegawai tertinggi dari 15 negara untuk membincangkan punca penghijrahan tidak teratur di Lautan India.

No comments:

Post a Comment