Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Zeid Ra’ad Al Hussein dalam kenyataannya berkata, kerajaan Myanmar seharusnya mengambil tanggungjawab penuh bagi menyelesaikan isu berkenaan yang kini merebak sehingga ke negara-negara jiran termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.
“Kerajaan Myanmar perlu menamatkan penindasan dan diskriminasi terhadap etnik Rohingya termasuk memberikan mereka kerakyatan supaya dapat mengelakkan krisis itu berpanjangan.
“Kepentingan menjaga hak asasi manusia di negeri Rakhine perlu diberi perhatian memandangkan lokasi terbabit yang terletak berhampiran laut mendorong etnik Rohingya di negeri itu melarikan diri dari negeri itu menggunakan bot,” katanya seperti yang dilaporkan portal Turkish Weekly.
Zeid turut mengingatkan kerajaan di negara-negara Asia Tenggara agar mengambil langkah pantas bagi melindungi golongan pendatang bagi mengelakkan berlaku ramai kematian dalam kalangan pelarian.
Beliau merujuk kepada tindakan kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand yang mengamalkan dasar mengusir bot pendatang daripada memasuki wilayah masing-masing.
Sementara itu, tentera laut Thailand menunda sebuah bot yang dipenuhi pendatang ke perairan Malaysia selepas mendakwa pelarian itu mahu mencari perlindungan di negara terbabit.
Seorang pegawai tentera yang enggan dikenali berkata, bot berkenaan ditunda sebanyak dua kali selepas hanyut di perairan Thailand selama beberapa hari dan pihak tentera laut Thailand membantu membaiki enjin bot mereka serta memberi bekalan air, makanan dan minyak.
“Mereka mahu pergi ke Malaysia dan kami menunjukkan arah yang perlu mereka tuju,” katanya kepada Reuters.
Sebaik-baik memasuki perairan Malaysia, sebuah kapal peronda memintas bot terbabit, tetapi nasib kesemua pendatang itu tidak diketahui.