Sunday 24 May 2015

Indonesia Mulakan Misi Cari, Selamat Pelarian


Diterbitkan: Ahad, 24 Mei 2015 4:12 PM

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mula menjalankan misi mencari dan menyelamat pelarian Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar yang masih terkandas di laut, lapor pegawai kerajaan itu pada Ahad.
Kenyataan terbaharu itu menampakkan pendirian berbeza Indonesia kerana sebelum ini mereka mengeluarkan kenyataan enggan memberi perlindungan.
Jakarta mencetuskan kemarahan di peringkat antarabangsa apabila enggan memberi perlindungan kepada ribuan pelarian yang kini terkandas di laut akibat aktiviti pemerdagangan manusia yang disifatkan krisis kemanusiaan.
Bagaimanapun, terkini pihak Indonesia mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan menyelamatkan kesemua pelarian tersebut tetapi dengan syarat.
"Langkah yang akan diambil adalah menempatkan pelarian di penempatan sementara atau dihantar pulang dalam tempoh setahun, bersama-sama kerajaan Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, masih belum ada kenyataan rasmi daripada kerajaan Indonesia mengenai usaha menyelamat walaupun nelayan negara itu sudah membantu serta menyelamatkan beratus-ratus pelarian Rohingya dan Bangladesh yang terkandas.
Selain itu, terdapat empat kapal tentera laut, dua pontun dan sebuah pesawat peronda diarahkan untuk menjalankan misi menyelamat dan mencari bermula pada Jumaat petang, jelas jurucakap tentera Indonesia, Fuad Basya kepada AFP.
"Kami menerima arahan rasmi daripada Presiden (Joko Widodo) untuk menjalankan misi mencari dan menyelamat, sama ada di wilayah Indonesia atau perairan antarabangsa.
"Kami akan menyelamatkan dan membawa mereka ke darat," katanya sambil menambah tiada bot baru yang kelihatan pada Sabtu petang.
Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa tentera laut dan pengawal keselamatan pantai akan dikerahkan untuk menjalankan operasi mencari, namun setakat ini masih belum ada yang diselamatkan.
Lebih 3,500 pelarian berenang ke pesisir pantai atau diselamatkan di perairan Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak krisis tersebut meletus awal bulan ini.
Kejadian itu dilaporkan berlaku apabila bot yang dipenuhi pelarian Rohingya dan Bangladesh diabaikan sindiket penyeludupan serta ditinggalkan bersendirian di lautan. 

No comments:

Post a Comment