Wednesday 20 May 2015

Nelayan Selamatkan Pendatang Terkandas Di Lautan


Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 10:40 AM

BANDA ACEH: Nelayan tempatan di wilayah Aceh berjaya menyelamatkan lebih 100 pelarian, manakala dipercayai kira-kira 400 lagi masih terkandas di lautan, pada Rabu, lapor pegawai yang bertugas.
Pegawai pasukan mencari dan menyelamat, Khairul Nova berkata, nelayan tersebut menyelamatkan seramai 102 pelarian kira-kira jam 2 pagi di perairan Selat Melaka yang terdiri daripada 30 kanak-kanak dan 26 wanita.
"Lebih kurang 400 pelarian masih terkandas di lautan, beberapa nelayan tempatan bertindak untuk menyelamatkan mereka," kata pegawai tersebut.
Selain itu, Khairul turut memberitahu bahawa kesemua pelarian yang berjaya diselamatkan akan dibawa ke Kampung Simpang Tiga di daerah timur Aceh.
Seramai 1,500 warga Muslim Rohingya melarikan diri akibat dianiaya dan ditindas, manakala warga Bangladesh melarikan diri atas faktor kemiskinan telah tiba di Aceh beberapa hari selepas ditinggalkan oleh penyeludup.
Kesemua pelarian terbabit adalah antara yang berjaya diselamatkan daripada beberapa ribu pelarian yang lain, selamat mendarat di Malaysia, Indonesia, dan Thailand selepas ditinggalkan oleh penyeludup berikutan laluan perdagangan manusia yang sekian lama wujud diawasi pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment