BANGKOK - THAILAND. Thailand hanya sedia untuk mempertimbangkan untuk menyediakan kem penempatan sementara untuk pelarian Rohingya yang memasuki Thailand secara haram.

Ia adalah tempat untuk menempatkan mereka bagi tempoh jangka pendek sementara menunggu untuk diproses tetapi ia bukan pusat kekal untuk tempoh selama 10-20 tahun," kata Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha ketika ditanya oleh wartawan sama ada Thailand akan mendirikan pusat seperti itu.

"Jangan mengatakan bahawa ia adalah kem pelarian. Ia ialah mengenai sama ada mereka secara haram memasuki atau tidak.
"Ada Suanplu (Biro Imigresen di Bangkok) tetapi adakah ia dapat menampung 3,000 hingga 4,000 orang?," katanya.

Berhubung mesyuarat mengenai Rohingya yang akan diadakan oleh Thailand, Jen Prayuth berkata mesyuarat pada 29 Mei ini akan membincangkan semua isu berkaitan seperti asal-usul, transit dan destinasi serta bagaimana untuk menangani masalah itu.
Beliau berkata walaupun Thailand tidak dapat menyangkal tanggungjawabnya dalam masalah itu, timbul isu berhubung dengan bajet untuk membantu pelarian Rohingya ini.

"Jika kami memikul beban kewangan, adakah ia terlalu membebankan atau tidak?," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Jen Thanasak Patimaprakorn berkata kerajaan tidak akan mendirikan khemah pelarian rasmi bagi pelarian Rohingya tetapi bersedia untuk memberikan bantuan jangka pendek berdasarkan prinsip kemanusiaan.  - Bernama