|
BANGKOK – Delegasi Myanmar untuk rundingan mengenai krisis migran di Asia Tenggara di sini semalam membidas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) yang menggesa negara itu mengiktiraf etnik minoriti Rohingya Muslim sebagai warga negara bagi membendung mereka melarikan diri.
“Berhubung isu pelarian asing menggunakan bot, anda tidak boleh semata-mata menuding jari kepada negara kami,” kata Pengarah Urusan Kementerian Luar Myanmar, Htin Lynn.
Kenyataannya itu merupakan respons tegas terhadap rayuan UNHCR untuk menangani krisis pelarian yang berpanjangan termasuk isu ketiadaan status sebagai warganegara.
Dalam ucapan pembukaannya ketika pertemuan dengan 17 negara dan lain-lain agensi, Volker Turk, penolong pesuruhjaya tinggi UNHCR untuk perlindungan, menggesa Myanmar untuk menyelesaikan aliran beribu-ribu etnik Rohingya ke selatan.
Kebanyakan mereka melarikan diri ke beberapa perairan di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Katanya, usaha menangani punca penghijrahan tersebut memerlukan andaian penuh terhadap tanggungjawab Myanmar untuk semua rakyatnya.
“Mendapatkan kerakyatan ialah matlamat utama,” ujar Turk.
Bagaimanapun, Myanmar menafikan taraf kerakyatan majoriti daripada 1.3 juta etnik Rohingya dan tidak menerima mereka sebagai salah satu etnik rasmi, sebaliknya menggelar mereka sebagai ‘Benggali’, panggilan ringkas untuk pendatang asing dari Bangladesh.
Myanmar menolak sebarang isu antarabangsa terhadap status minoriti Muslim itu sejak keganasan perkauman antara Rohingya dan penganut Buddha tercetus pada 2012 di negeri Rakhine yang menyebabkan mereka terus ditindas.
Perwakilan Myanmar menggelar komen Turk sebagai sesuatu yang dipolitikkan mengenai subjek migran sambil menambah bahawa beberapa isu adalah bersifat dalaman.
Kira-kira 3,500 pelarian yang kelaparan terutama Rohingya dan Bangladesh telah tiba di perairan beberapa negara di Asia Tenggara sejak awal bulan ini apabila Thailand bertindak keras terhadap penyeludupan manusia melalui laluan selatan negara itu dari Teluk Bengal. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0530&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3basvOw6e
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment