Sunday 17 May 2015

AS desak wujudkan pusat perlindungan


SEORANG pendatang Rohingya yang berada di pusat pelindungan sementara di Kuala Langsa, Aceh, Indonesia menangis semasa menghubungi saudaranya di Malaysia. - REUTERS


WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mendesak Thailand mewujudkan pusat perlindungan sementara khusus untuk golongan Islam Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.
AS pada masa yang sama menggesa negara-negara di rantau Asia Tenggara supaya menghentikan tindakan mengusir semula pendatang berkenaan ke tengah laut.
Setiausaha Negara AS, John Kerry telah membincangkan mengenai perkara itu melalui telefon dengan Menteri Luar Thailand, Jeneral Tanasak Patimapragorn lewat kelmarin.
Hampir 800 pendatang tiba di Indonesia pada Jumaat lalu tetapi sebilangan bot yang mereka naiki telah ditunda semula ke tengah laut menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meminta supaya ‘orang bot’ berkenaan segera diselamatkan.
“Setiausaha Negara telah menghubungi pihak Thailand bagi membincangkan mengenai isu pendatang di Laut Andaman serta meminta Thailand menimbang mewujudkan pusat perlindungan sementara,” kata jurucakap Jabatan Negara, Jeff Rathke.
Ribuan penduduk Islam Rohingya yang meninggalkan Myanmar dan Bangladesh telah terkandas di dalam bot selepas beberapa kerajaan menyekat mereka daripada mendarat.
Rathke berkata, hampir 3,000 pendatang telah mendarat di Indonesia dan Malaysia sepanjang minggu ini dan mereka perlu diberi bantuan sewajarnya.
Katanya lagi, duta-duta AS sedang berhubung dengan kerajaan berkaitan bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan.
Jurucakap White House, Eric Schultz pula berkata, Washington memandang serius dengan situasi yang berlaku di Myanmar termasuk keganasan agama dan tekanan terhadap etnik minoriti selain keadaan ekonomi yang menyebabkan mereka melarikan diri dari negara berkenaan. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3aLFNKbKG 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment