Sunday 17 May 2015

AS Desak Thailand Wujud Pusat Perlindungan Sementara Rohingya


Diterbitkan: Ahad, 17 Mei 2015 10:44 AM

WASHINGTON: Kebanjiran penduduk Islam Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar di rantau ini mendorong Amerika Syarikat (AS) mendesak Thailand supaya mewujudkan pusat perlindungan sementara untuk golongan itu.
Kuasa besar dunia itu juga menggesa negara di rantau Asia Tenggara supaya menghentikan tindakan mengusir semula pendatang berkenaan ke tengah laut.
Setiausaha Negara AS, John Kerry turut membincangkan perkara itu melalui telefon dengan Menteri Luar Thailand, Jeneral Tanasak Patimapragorn, Jumaat.
Hampir 800 pendatang tiba di Indonesia pada Jumaat lalu tetapi ada di antara bot yang dinaiki ditunda semula ke tengah laut menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta ia diselamatkan atas dasar kemanusiaan.
“Setiausaha Negara telah menghubungi pihak Thailand bagi membincangkan mengenai isu pendatang di Laut Andaman serta meminta Thailand menimbang mewujudkan pusat perlindungan sementara,” kata jurucakap Jabatan Negara, Jeff Rathke.
Ribuan penduduk Islam Rohingya yang meninggalkan Myanmar dan Bangladesh terkandas di dalam bot selepas beberapa kerajaan menyekat mereka daripada mendarat.
Rathke berkata, hampir 3,000 pendatang telah mendarat di Indonesia dan Malaysia sepanjang minggu ini dan mereka perlu diberi bantuan sewajarnya.
Berikutan itu, katanya lagi, duta-duta AS sedang berhubung dengan kerajaan berkaitan bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan.– Reuters

No comments:

Post a Comment